Halaman

25 September 2012

Eratkan silaturrahim melalui Majlis Bacaan Yassin

Oleh: Mastura Jamaluddin

Yayasan Islam Terengganu dengan kerjasama Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) DUN Kuala Berang mengadakan Majlis Bacaan Yassin Pelajar Kelas Al-Quran Dewasa di Masjid Kampung Butut, kelmarin, yang di hadiri hampir 300 orang penduduk tempatan.

Amalan ini bertujuan memupuk semangat keislaman dan silaturrahim antara guru-guru Al-Quran Yayasan Islam dengan pelajar dewasa mereka serta penduduk sekitar yang turut menyertainya.

Selain itu,majlis turut diselitkan dengan tazkirah serta ceramah agama yang bertujuan menambah kefahaman penduduk mengenai syariah Islam. Menurut Pegawai Yayasan Islam Daerah Hulu Terengganu, Encik Ariffin Mat Ali, ini adalah kali pertama mereka bekerjasama dengan APMT Dun Kuala Berang dan telah mendapat kejayaan dari semua aspek.

Mereka merancang untuk meneruskan program seperti ini dalam masa yang terdekat dengan tambahan pelbagai pengisian agenda untuk menarik lebih perhatian terutama golongan muda.

“Selain daripada untuk mengeratkan silaturrahim, kami mengadakan bacaan Yassin ini adalah untuk memohon keamanan serta kemenangan Barisan Nasional dalam PRU13 nanti kerana kami cintakan kedamaian yang ada sekarang dan tidak mahu apa yang berlaku di negara luar, terutama negara-negara Islam yang sedang bergolak sekarang, berlaku di Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut.

Majlis tersebut di rasmikan oleh Ahli Parlimen Hulu Terengganu, YB Haji Mohd Nor Othman yang turut berpesan kepada semua yang hadir supaya bersyukur dengan apa yang ada sekarang serta nikmat yang diperolehi selama Kerajaan Barisan Nasional memerintah.

Beliau dalam ucapannya turut berkias apabila berkata bahawa kita mesti mendengar kata kedua ibu bapa yang diibaratkan pemimpin kerana menderhaka kepada mereka ibarat kacang lupakan kulit serta tidak mengenang budi.