Halaman

26 September 2012

Seekor tikus, dibayar RM2

Oleh: Suriati Ali 
Gambar ZULKIPLI PUTRA.

 Kerajaan negeri akan melancarkan Operasi Menangkap Tikus di kawasan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), bermula minggu depan sebagai usaha membanteras pelbagai penyakit berpunca daripada haiwan itu.

Dato'Seri Haji Ahmad Said bersama Dato' Haji Mazlan Ngah ketika mengadakan sidang akhbar .
Apa yang istimewanya, seekor tikus yang berjaya ditangkap penduduk akan dibayar RM2 di kaunter yang dikhaskan majlis itu .

 Insiatif itu sebagai pendorong kepada mereka untuk terus membanteras haiwan itu yang dikatakan semakin membiak di kawasan terlibat.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata apa yang dilaksanakan itu sebagai langkah mendidik dan mendedahkan warga MBKT supaya menjaga kebersihan persekitaran agar bebas daripada ancaman tikus serta tempat pembiakan aedes.

 “Kita mengambil langkah berjaga-jaga sebelum pelbagai perkara yang tidak diingini berlaku seperti terdapat kematian berpunca daripada air kencing tikus dan penyakit berjangkit lain.

“Berdasarkan permerhatian, haiwan ini banyak berkeliaran di kawasan tertentu terutama dalam longkang, di lorong-lorong bangunan dan sebagainya,” katanya Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli-ahli Majlis Kerajaan Negeri, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Katanya, pihaknya berharap melalui program itu, ia dapat mendidik masyarakat supaya sentiasa peka dan mengambil berat berhubung tahap kebersihan di kawasan kediaman masing-masing.

“Usaha ini perlu dibuat berterusan bagi mengawal wabak demam denggi daripada merebak serta ancaman tikus daripada berleluasa serta memerlukan penyertaan menyeluruh daripada semua pihak,” katanya.