Halaman

23 September 2012

Calon disenangi, melekat di jiwa pengundi : Dato' Abdul Rahman

Oleh: Aida Abd Rahman dan  Nur Syarifatul Zahidah Mukhtar (pelatih)

Semua calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) perlu mempunyai karakter yang disenangi dan melekat di jiwa penduduk, khususnya pengundi di kawasan masing-masing.

 Kesilapan menetapkan calon PRU13 boleh menggagalkan usaha Barisan Nasional (BN) menawan hati pengundi, selain menipiskan peluang untuk merampas semula kawasan yang dimenangi pembangkang, malah mungkin menjejaskan peluang BN mengekalkan kerusi sedia ada.

 Pandangan itu disuarakan bekas Ahli Parlimen Marang, Dato’ Haji Abdul Rahman Bakar (gambar kecil), sambil menyifatkan kesilapan percaturan menentukan calon PRU13 hanya akan mengudang padah.

Rakyat Marang perlu ingat pembangunan yang ketara di kawasan berkenaan adalah hasil perjuangan pemimpin BN.

Malah, perjuangan pemimpin BN dan Umno membawa pembangunan dan mendekati rakyat serta menyelami nasib mereka dengan melakukan pelbagai transformasi selama ini hanya sia-sia jika calon tidak mendapat tempat di hati pengundi.

 “Bagaimanapun, perlu diingatkan jangan ada peteh- memeteh. Malah, jangan ada calon `bidan terjun’. Sebagaimana pengalamansebelum ini kita boleh kalah disebabkan calon kurang dikenali, kurang mesra rakyat, malah tidak dapat diterima pengundi.

 “Calon mesti meresap di jiwa rakyat, mesti orang kenal, mesti ada bukti mengenai keupayaan melaksanakan tanggungjawab kepimpinan. Itu amat penting,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Beliau turut berharap Presiden Umno, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak memilih calon berdasarkan beberapa kriteria utama itu dengan tumpuan kepada mereka yang mempunyai ciri-ciri diterima khalayak termasuk dikenali, disukai dan memiliki kredibiliti sebagai pemimpin.

 Katanya, keputusan menetapkan calon di kalangan `kroni’ puak tertentu juga perlu dielakkan, tetapi jika ia perlu dilakukan di kalangan kroni, mereka perlulah `kroni rakyat’.

 “Tidak kisah jika mahu mengambil kroni sesiapa sahaja, walaupun calon itu kroni pemimpin utama, bagaimanapun, dia haruslah turut menjadi `kroni rakyat’. Maksud saya orang suka. Rakyat suka. Kalau pilih calon betul-betul yang rakyat suka, ada rekod, ada kebolehan, boleh menang. Saya jamin boleh menang.

“Calon berkenaan bukan sahaja yang mudah mendekati dan suka kepada rakyat, malah rakyat suka kepada dia,” katanya.

 Senator Dato’ Abdul Rahman berkata, kegagalan BN meletakkan calon pilihan rakyat mengakibatkan pembangkang walaupun sebuah parti yang lemah, tetap boleh menang kerusi yang dipertandingkan.

 Malah, sesiapa sahaja calon pilihan Pas termasuk Presiden parti itu sendiri, Dato’ Seri Haji Hadi Awang masih boleh ditumbangkan pada PRU13 jika BN berupaya meletakkan calon yang diterima rakyat Marang.