Halaman

05 November 2012

Hadi tanding Pekan hanya gimik politik Pas

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Umno Terengganu menganggap kenyataan Presiden Pas, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang untuk bertanding di kawasan Parlimen Pekan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti sebagai gimik politik murahan parti itu.

Ketua Penerangan Umno Negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif  Abd Rahman (gambar) berkata, Presiden Pas itu tidak akan sanggup meninggalkan kerusi tradisi beliau iaitu Parlimen Marang, untuk menentang Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak di Pekan pada PRU 13.

“Itu hanya gimik politik murahan Pas yang bertujuan untuk menghangatkan suasana politik semasa. Hari ini Pas tidak ada modal politik lagi bagi menarik orang ramai menyokong perjuangan parti itu, lalu mereka mengadakan cerita murahan seperti ini,’”katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Abdul Hadi kelmarin bahawa beliau sedia bertanding di Pekan pada PRU 13 yang kini disandang Perdana Menteri.

Presiden Pas itu berkata, beliau akan mematuhi apa saja keputusan yang dibuat oleh Pas dan sedia beralih kerusi jika diputuskan demikian.

“Kita tidak yakin Presiden Pas akan meninggalkan kerusi Marang dan bertanding di kawasan Parlimen Pekan,” kata Ahmad Razif yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

Bagaimanapun, menurut beliau, pihaknya yakin Umno dan Barisan Nasional (BN) sentiasa bersedia menghadapi tentangan daripada Presiden Pas untuk bertanding di mana-mana kerusi di seluruh negara.

“Kita sentiasa bersedia untuk menentang bukan saja Presiden Pas, tetapi semua pemimpin parti itu,’ ujar beliau.


JPN anjur program pendidikan kebersihan

Oleh: Noraini Jusoh

 Majlis penyampaian hadiah bagi pertandingan program pendidikan kebersihan kawasan sekolah peringkat negeri Terengganu 2012 telah berlangsung di Dewan Besar Wisma Darul Iman, semalam.

 Majlis dimulakan dengan bacaan ayat suci al-Quran oleh adik Ahmad Fadhlur Ridhwan Ahmad Sabri dari Program Pendidikan Khas Intergrasi (PPKI) SMK Panji Alam yang merupakan johan dalam acara hafazan peringkat kebangsaan sempena majlis tilawah al-Quran pendidikan khas peringkat kebangsaan baru-baru ini.

Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu, Encik Zakaria Hussin berkata, pertandingan yang dianjurkan oleh kerajaan negeri dengan kerjasama JPNT ini antaranya bertujuan membudayakan amalan menjaga kebersihan di kalangan pelajar sekolah.

 “Terdapat pelbagai kategori yang telah dipertandingkan dan apa yang membanggakan ianya turut melibatkan murid Orang Asli dan Pendidikan Khas.

“Bagi kategori murid Orang Asli antara pertandingan yang telah diadakan ialah pidato bahasa Melayu, pidato bahasa Inggeris, dan pertandingan mewarna, di mana johan menerima RM200, naib johan RM150 dan ketiga RM100 beserta sijil, plak dan mock cheque bagi setiap pemenang,” ujarnya dalam ucapan aluan majlis tersebut.

 Katanya, pemenang mewarna sekolah rendah kategori sindrom down dan pertandingan melukis poster sekolah menengah bagi kategori yang sama turut menawarkan hadiah serupa seperti yang dimenangi murid Orang Asli.

YB Tuan Haji Ramlan Ali merangkap Timbalan Pengerusi 1, Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri telah menyempurnakan majlis perasmian penyampaian hadiah bagi pertandingan program pendidikan kebersihan pada kali ini.

 

Penghuni Pangsapuri Ladang bersatu

Oleh: Noraini Jusoh 

Perbezaan fahaman politik tidak menjadi penghalang kepada penghuni pangsapuri Ladang Gemilang 1 mengadakan aktiviti kemasyarakatan secara bersama.

Ketua Wanita Umno, Pangsapuri Ladang Gemilang 1, Puan Salbiah Yusof berkata, walaupun terdapat perbeza fahaman politik, kaum wanita di sini khususnya sentiasa bekerjasama dan saling tolong menolong menjayakan sesuatu aktiviti yang dianjurkan.

“Sebagai contoh, melalui program salam sayang yang pihak kami anjurkan ini umpamanya, selain dapat berkumpul mengadakan majlis bacaan yasin yang dapat mengeratkan silaturahim di antara penduduk, program sebegini juga dapat membuka ruang kepada penghuni di sini duduk berbincang menyelesaikan sesuatu masalah yang dihadapi.

“Melalui perbincangan, kita dapat meyelesaikan sesuatu isu yang timbul dengan lebih berkesan tanpa perlu menunding jari kepada pihak-pihak tertentu,” ujarnya ketika ditemui Teganukita selepas selesainya program tersebut, semalam.

Puan Salbiah berkata, hubungan seperti adik beradik antara penghuni pangsapuri terbabit memudahkan mereka berurusan.

 “Saya sangat berpuas hati kerana program salam sayang pada kali ini mencapai sasaran kerana sebahagian besar yang hadir terdiri daripada pembangkang.

 “Tujuan pihak kami menganjurkan program sebegini sebenarnya adalah untuk memberi penjelasan lanjut kepada kaum wanita khususnya mengenai isu-isu yang sering diputarbelitkan oleh pihak pembangkang terutamanya isu hak milik pangsapuri Ladang Gemilang 1.

 “Justeru, pihak kami telah menjemput Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri Ladang, Dato’ Haji Wan Hisham Wan Salleh untuk memberi keterangan lanjut serta membuka peluang kepada penghuni disini mendapat penjelasan daripada Dato’ secara terus,” ujarnya.

 Katanya, dalam perkembagan lain, Persatuan Wanita Umno Pangsapuri Ladang Gemilang 1 turut aktif menganjurkan aktiviti kemasyarakatan lain, antaranya seperti majlis sebatang kara, gotong royong membersihkan surau serta aktiviti ziarah orang sakit untuk mengekalkan hubungan baik antara mereka yang telah lama terjalin.

 

Jawatankuasa Pengundi Luar Parlimen Marang sangat aktif

Oleh : Amirullah Othman 

Seramai 250 orang Jawatankuasa daripada semua Pusat daerah mengundi (PDM) dalam Parlimen Marang telah hadir ke Angullia Beach Resort semalam.

 Program ini turut dihadiri oleh Y.B Senator Dato’ Haji Abdul Rahman Bakar selaku Pengerusi Pengundi Luar dan NGO’S Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Encik Othman Endut Setiausaha Pengundi Luar dan NGO’S Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Encik Anuar Yahya Pengerusi Pengundi Luar UMNO Bahagian Marang, Pengerusi Pengudi luar UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Pengerusi Pengundi Luar UMNO Bahagian Kuala Nerus, Pengerusi Pengundi Luar UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Pengerusi Pengundi Luar UMNO Bahagian Setiu serta semua pengerusi dan setiausaha pengundi luar Pusat Daerah Mengundi(PDM) dalam Bahagian Marang.

Dalam perjumpaan ini banyak amanat yang disampaikan Dato’ Abdul Rahman yang inginkan semua jawatankuasa bersiap sedia kerana perjuangan dan peperangan sangat hampir sekarang.

Beliau turut mengingatkan semua jentera parti supaya ikhlas dalam melaksanakan tanggungjawab dan sentiasa bersemangat untuk parti tercinta Barisan Nasional dan bukannya merasa lemah semangat apabila calon yang dipilih oleh pucuk pimpinan tidak memenuhi kehendak mereka.

 Jentera pengundi luar yang hadir dalam pertemuan semalam amat berpuas hati kerana mereka dapat meluahkan segala permasalahan yang telah dialami sebelum ini seperti sumber kewangan yang tidak cukup untuk diberikan kepada pengundi luar yang balik mengundi, jumlah duit tidak setimpal dengan kos tambang balik terutamanya kepada pengundi yang bekerja di Sabah dan Sarawak.

 Segala permasalahan ini dapat di jawab dan mampu menyelesaikan kekusutan yang sering berlaku sebelum ini. Ini merupakan satu program yang sangat baik untuk menuju ke arah kemenangan Barisan Nasional di Malaysia, Terengganu dan khasnya di Marang.

 

MAYC Marang anjur Program Santai Belia.

Oleh : Amirullah Othman 

Untuk memenuhi hasrat belia Marang untuk duduk semeja bersama pemimpin setempat, MAYC kawasan Marang bersama-sama Persatuan Belia Pengadang Baru dan Pejabat Belia dan Sukan Daerah Marang menganjurkan program yang di beri nama “Program Santai Belia”, semalam.

Program ini berjaya mengumpulkan seramai 300 orang belia untuk bersoal jawab tentang isu-isu semasa bersama pemimpin setempat dan dijamukan dengan ayam bakar dan mee goreng oleh Persatuan Belia Pengadang Baru.

Turut hadir dalam program itu ialah Y.B Senator Dato’ Haji Abdul Rahman Bakar selaku Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, Encik Yahya Mohd Khatib Setiausaha Agung Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Kebangsaan, Encik Amirullah Othman Pengerusi Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Negeri Terengganu, Encik Mohd Shamsir Mohd Pegawai Belia dan Sukan Daerah Marang, Encik Jasmira Othman Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Marang, Jawatankuasa JKKK dan Jawatankuasa Kelab-Kelab Belia (MAYC) Kawasan Marang.

 Dato’ Haji Abdul Rahman sangat gembira dengan semangat orang muda di Marang kerana sangat kuat hubungan silaturahimnya apabila kerap bertemu mesra dan mengadakan program-program untuk golongan belia.

Program seumpama ini sangat baik untuk memastikan hubungan generasi Y di Parlimen Marang terus utuh dan selalu berhubungan dengan pemimpin-pemimpin di Marang.

Beliau juga menyatakan rasa bangga dengan komitmen jawatankuasa Kelab-Kelab Belia (MAYC) Kawasan Marang selalu hadir untuk memberikan sokongan kepada semua bentuk program yang dijalankan oleh kerajaan.

 Ini menunjukkan sekarang ini golongan muda mudi telah faham tentang senario politik negara mahu pun negeri Terengganu dan telah tahu hala tuju yang patut mereka sokong. Pada Pilihanraya Umum Ke 13 nanti, undi golongan muda mudi adalah penentu kepada kemenangan Barisan Nasional.

Oleh itu, kerjasama dari golongan belia dan beliawanis amat ditagih untuk membawa seberapa ramai golongan muda untuk terus menyokong dan mengundi Barisan Nasional.

 

Semarakkan Seni Budaya 1Malaysia

Oleh: Mastura Jamaluddin 

Kemeriahan dan gelak tawa penduduk Kampung Cheting dalam penglibatan setiap program yang di anjurkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara Terengganu dengan kerjasama Majlis Kebudayaan Daerah Hulu Terengganu serta Pusat Khidmat Masyarakat DUN Telemong membuktikan kejayaan Program Merakyatkan Seni dan Budaya ( PMS ).

 Dari seawal pagi, penduduk kampung berkumpul untuk bersama-sama menyertai sukan rakyat yang di anjurkan serta pertandingan mewarna untuk kanak-kanak Tabika. Ahli Dewan Undangan Negeri Telemong, YB Rozi Mamat tidak ketinggalan bersama-sama penduduk dan berkesempatan menziarahi sebanyak 15 buah rumah yang di kategorikan miskin dan kurang upaya.

Majlis perasmian yang diadakan pada waktu petang turut menyaksikan penduduk kampung dihiburkan dengan tarian kebudayaan yang di bawa khas daripada Kumpulan Keseniaan JKKN .

YB Rozi berkata, PMS telah berjaya merapatkan jurang pemimpin dengan rakyat kerana pengisian yang diadakan seperti ziarah, sukan dan pemeriksaan kesihatan percuma.

Beliau merasakan PMS adalah satu program yang sangat baik dan perlu diteruskan dari semasa ke semasa untuk pupuk budaya yang semakin di lupakan.

“Kerajaan yang memerintah sekarang adalah kerajaan yang bertanggungjawab menubuhkan agensi-agensi yang ada pada hari untuk memupuk budaya di kalangan masyrakat melayu.Seni budaya wujud dalam kehidupan seharian kita dalam setiap amalan dan perbuatan tapi hari ini ianya makin hilang.

 “Tidak mustahil 10 tahun akan datang, bangsa Melayu akan hilang identiti dan budaya nenek moyang turun temurun jika kita tidak berubah sekarang. Seperti kata orang lama ’Bangsa Yang Hilang Identiti Adalah Bangsa Yang Malang ‘.

 “Saya cukup berharap PMS ini dapat mengembalikan dan memartabatkan seni budaya ini di kalangan generasi sekarang supaya generasi akan datang tidak hilang budaya tanpa bercanggah dengan agama” kata YB Rozi sewaktu berucap pada majlis perasmian.

Pada majlis tersebut turut menyaksikan sumbangan Netbook kepada 100 pelajar Pondok Darul Iman oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia( SKMM ).

ORANG MELAYU DI MALAYSIA BEBAS BERAGAMA- APA PANDANGAN PAS?

Oleh: Ruslan Abdul Rahman-Pengarang Teganukita. 

Sungguh mengejutkan bila Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar menegaskan Melayu juga bebas pilih agama.

"When you ask me, there is no compulsion in religion... how can anyone say sorry, this (religious freedom) only applies to non-Malays, it has to apply equally." she said.

Itulah kata-kata Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar yang membawa maksud: “Jika awak tanya saya, tidak ada paksaan dalam agama. Bagaimana seseorang boleh berkata kebebasan agama hanya terpakai kepada bukan Melayu, ia harus digunakan setara - itu kata Nurul Izzah.... Kita hendak tahu apa pandangan pemimpin Pas sebuah parti yang menjadi sekutu pakatan.

Penulis mendapati dalam Kanun Jenayah Syariah Terengganu yang iaitu hudud yang dikemukakan oleh Pas
menyebut: Seksyen 26. Hukuman Bagi Kesalahan Irtidad atau Riddah.

1) Sesiapa yang disabit melakukan kesalahan irtidad hendaklah sebelum dijatuhkan hukuman ke atasnya dikehendaki oleh Mahkamah supaya bertaubat dalam tempoh yang tidak kurang daripada tiga hari setelah dia didapati bersalah.

2) Sekiranya dia enggan bertaubat dan masih lagi berterusan dengan pendiriannya terhadap perbuatan yang dilakukan atau perkataan yang disebutkan itu, maka Mahkamah hendaklah mengisytiharkan hukuman bunuh ke atasnya dan memerintahkan supaya hartanya sama ada diperolehi sebelum atau selepas dia melakukan kesalahan itu dirampas dan dipegang oleh Baitulmal;

Dengan syarat bahawa sekiranya dia bertaubat sama ada sebelum dijatuhkan hukuman bunuh ke atasnya atau selepas dijatuhkan hukuman itu ke atasnya tetapi sebelum dijalankan hukuman itu, maka hendaklahdia terlepas daripada hukuman bunuh, dan hartanya yang dihukum rampas itu hendaklah dipulangkan kepadanya:

Dengan syarat selanjutnya bahawa dia hendaklah dipenjarakan selama tempoh yang tidak melebihi lima tahun.

Nurul Izzah menjawab soalan peserta sama ada orang Melayu perlu diberikan kebebasan beragama seperti seperti orang bukan Melayu pada satu forum bertajuk Negara Islam: versi mana, siapa bertanggungjawab, bertempat di Subang Jaya, kelmarin atau forum bertajuk 'Islamic State: Which version; Who’s responsibility?’ anjuran Gereja Full Gospel Tabernacle di Subang Jaya kelmarin.

Apakah kita sanggup menggadai maruah agama Islam Yang Maha Suci dan Melayu. Jika merujuk Perlembagaan Persekutuan, orang Melayu ditakrifkan dalam Perkara 160(2) sebagai seseorang yang beragama Islam, lazimnya, mereka ini bercakap dalam bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu.

Kalaulah kita menerima pendapat Nurul Izzah, bermakna kita akan menerima kehadiran Melayu yang bukan lagi menganut agama Islam tetapi agama-agama lain dan sudah pasti perlembagaan negara, perkara 160(2) mestilah dipinda.

Marilah kita bantah sekeras-kerasnya pandangan dan pendapat yang cukup menghina dan menyentuh hati kita sebagai seorang Melayu dan Islam.

 

MKJR mahu AES diteruskan

Oleh: Aida Abd Rahman

Ketika ramai pihak yang mempertikaikan dasar kerajaan menggunakan pendekatan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) menyokong penuh inisiatif itu bagi meningkatkan tahap keselamatan jalan raya di negara ini.

Menurut Setiausaha Agungnya, Leslie Leon yakin kaedah itu merupakan satu lagi usaha kerajaan untuk membantu mengurangkan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya yang masih tinggi.

Beliau yang juga Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) berkata, langkah itu bukannya bertujuan menyusahkan pengguna tetapi melatih mereka berdisiplin dan mengubah tabiat buruk.

 "Berilah peluang kepada penggunaan AES untuk melihat keberkesanannya terlebih dahulu. “Malah sistem tersebut telah banyak digunakan di negara-negara maju dan ternyata keberkesanannya,” katanya kepada pemberita pada majlis Makan Malam dan Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Ke-53 MKJR Malaysia di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, malam kelmarin (3 November).

Leslie berkata, sempena mesyuarat agung itu, pihaknya turut mengadakan seminar sehari yang menyentuh mengenai pelbagai usaha yang digerakkan bagi meningkatkan keselamatan jalan raya menerusi pembentangan oleh tiga ahli panel termasuk daripada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).

 

Terengganu hilang dua lagi tonggak

Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu terpaksa menerima hakikat kehilangan dua lagi tonggak utama selepas berdepan kehilangan 10 pemain, apabila kedua-dua pemain berkenaan mengambil keputusan menukar angin bagi menyertai pasukan adik , T-Team pada musim depan.

Pemain bekenaan, Marzuki Yusof dan Mazlizam Mohamad kini sah menyarung jersi T-Team selepas mendapat lampu hijau daripada Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) untuk berhijrah.

Menurut Presiden PBSNT, Dato’ Che Mat Jusoh, persatuan tiada pilihan selain mengambil keputusan untuk melepaskan kedua-dua pemain itu bagi membolehkan mereka meneruskan karier bersama pasukan baru. 

Katanya, pemain terbabit menyatakan hasrat untuk berhijrah dan PBSNT tidak akan menghalang keinginan mana-mana pemain yang ingin menyertai pasukan lain, namun ia perlu dibuat menerusi saluran yang tepat dan mendapat persetujuan serta rundingan secara bersama antara semua pihak yang terlibat.

"Kita mengambil keputusan ini setelah mengadakan rundingan secara bersama dan ia adalah yang terbaik demi pembangunan sukan bola sepak di negeri ini.

 "Kita juga tidak mempunyai sebarang masalah berhubung mana-mana pemain yang ingin berhijrah ke pasukan lain, sebaliknya ia perlu dilakukan dengan cara yang betul kerana buat apa mahu sekat sekiranya mereka mahu pergi. Kita mahukan pemain yang maju berjuang bersama pasukan,"katanya.

Dato’ Che Mat juga berharap dengan penghijrahan mereka ke pasukan berstatus kelab itu, mereka mampu melonjakkan lagi prestasi sukan bola sepak Terengganu.

Kapten pasukan (Marzuki) dan pemain pertahanan kanan kelahiran Perlis (Mazlizam) antara 12 pemain skuad Penyu yang meminta pelepasan daripada menyertai skuad itu musim depan selain Mohd Sharbinee Allawee (penjaga gol); Mohd Muslim Ahmad (pertahanan); Abdul Hadi Yahya (penyerang); tiga pemain tengah, Joseph Kalang Tie; Reeshafiq Alwi dan Shukor Jusoh.

Pemain lain yang turut berhijrah adalah Hariri Mohd Shafie (pertahanan) dan Ailim Fahmi Kamaruddin (penyerang), manakala PBSNT turut memutuskan tidak memperbaharui kontrak dua pemain import, Francis Forkey Doe dan Erison Da Silva.

 

Rumah Terbuka Deepavali medan berkumpul semua kaum, nikmati menu dan tradisi kaum India

Oleh: Aida Abd Rahman



Rata-rata tetamu yang memenuhi Majlis Rumah Terbuka Deepavali 2012 di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Terengganu, malam kelmarin gembira dan teruja kerana majlis itu menjadi platform mereka berkumpul, menikmati menu serta persembahan tradisi masyarakat India di negara ini.


Seorang penuntut Institut Perguruan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail, Kuala Terengganu, K. Linggatharani, 21 dari Penang, berkata pelbagai persembahan dan sajian kaum India benar-benar membuatnya terhibur dan ceria untuk meraikan sambutan Deepavali tahun ini.

 “Sejak tiga tahun berada di Terengganu kerana menuntut ilmu di sini, inilah pertama kali saya dan beberapa rakan sebangsa berpeluang menyertai rumah terbuka ini dan suasana sungguh meriah serta menghiburkan.

“Inilah peluang keemasan untuk kaum minoriti yang menetap di Terengganu berkumpul dan saling berkongsi kegembiraan ini. Ia juga mampu memperlihatkan keakraban dan penyatuan kaum yang majmuk di negara kita,” katanya.

Seorang lagi tetamu, Encik Wong Choon Kheng, 55, dari Persatuan Buddhis Terengganu, berkata program itu mampu merapatkan hubungan silaturrahim antara semua kaum di negara ini dan menyemarakkan semangat 1Malaysia.

“Bukan sahaja tetamu diraikan dengan makanan dan persembahan tradisional, mereka yang kurang bernasib baik dan miskin dari pelbagai kaum yang tinggal di bandar ini juga diberi perhatian dengan mengagihkan sumbangan barang keperluan yang dapat meringankan bebanan terutama pada musim perayaan.

“Walaupun perayaan ini untuk masyarakat India, masyarakat Cina dan Melayu juga turut diraikan. Budaya ini harus diteruskan sampai bila-bila bagi memastikan kita dapat hidup dalam keadaam aman dan sentosa,” katanya.


Seorang lagi tetamu, Khairul Azwandi Ibrahim, 27, dari Kampung Gong Kemunting, Kuala Ibai, berkata dia dijemput ke majlis itu sebagai penerima bantuan sempena perayaan itu.

“ Saya seronok dan gembira dapat menyertai program ini. Pertama kali dijemput ke sini dan mendapat bantuan barangan keperluan.

“Di sini kita bukan sahaja dapat melihat adat dan tradisi kaum India, malah berpeluang menikmati hidangan kaum itu yang mungkin sukar diperolehi di tempat lain,” katanya.