Halaman

05 November 2012

MAYC Marang anjur Program Santai Belia.

Oleh : Amirullah Othman 

Untuk memenuhi hasrat belia Marang untuk duduk semeja bersama pemimpin setempat, MAYC kawasan Marang bersama-sama Persatuan Belia Pengadang Baru dan Pejabat Belia dan Sukan Daerah Marang menganjurkan program yang di beri nama “Program Santai Belia”, semalam.

Program ini berjaya mengumpulkan seramai 300 orang belia untuk bersoal jawab tentang isu-isu semasa bersama pemimpin setempat dan dijamukan dengan ayam bakar dan mee goreng oleh Persatuan Belia Pengadang Baru.

Turut hadir dalam program itu ialah Y.B Senator Dato’ Haji Abdul Rahman Bakar selaku Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, Encik Yahya Mohd Khatib Setiausaha Agung Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Kebangsaan, Encik Amirullah Othman Pengerusi Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Negeri Terengganu, Encik Mohd Shamsir Mohd Pegawai Belia dan Sukan Daerah Marang, Encik Jasmira Othman Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Marang, Jawatankuasa JKKK dan Jawatankuasa Kelab-Kelab Belia (MAYC) Kawasan Marang.

 Dato’ Haji Abdul Rahman sangat gembira dengan semangat orang muda di Marang kerana sangat kuat hubungan silaturahimnya apabila kerap bertemu mesra dan mengadakan program-program untuk golongan belia.

Program seumpama ini sangat baik untuk memastikan hubungan generasi Y di Parlimen Marang terus utuh dan selalu berhubungan dengan pemimpin-pemimpin di Marang.

Beliau juga menyatakan rasa bangga dengan komitmen jawatankuasa Kelab-Kelab Belia (MAYC) Kawasan Marang selalu hadir untuk memberikan sokongan kepada semua bentuk program yang dijalankan oleh kerajaan.

 Ini menunjukkan sekarang ini golongan muda mudi telah faham tentang senario politik negara mahu pun negeri Terengganu dan telah tahu hala tuju yang patut mereka sokong. Pada Pilihanraya Umum Ke 13 nanti, undi golongan muda mudi adalah penentu kepada kemenangan Barisan Nasional.

Oleh itu, kerjasama dari golongan belia dan beliawanis amat ditagih untuk membawa seberapa ramai golongan muda untuk terus menyokong dan mengundi Barisan Nasional.