Halaman

04 November 2012

Tiga produk untuk TMT 2013

Oleh: Noraini Jusoh 



Tiga produk menarik bakal diperkenalkan kepada para pelancong khususnya sempena Tahun Melawat Terengganu 2013 akan datang.

Dengan tema ‘Negeri Cantik, Budaya Menarik dan Orang Baik-Baik’, kebudayaan, cara hidup, kesenian dan warisan yang mencerminkan dan menggambarkan rakyat Terengganu bakal dipromosikan kerajaan negeri dengan kerjasama Persatuan Sasterawan Terengganu (PELITA) khusus dalam bidang penulisan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said berkata, kosa kata negeri Terengganu, makanan tradisional dan sejarah Batu Bersurat akan dibukukan dan dicetak semula untuk tatapan para pelancong sekaligus memperkenalkan keunikan Terengganu di mata dunia.

 “Dengan kerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai penasihat, pihak kami akan menambah kosa kata sedia ada hasil tulisan Tuan Shariff Tuan Putera untuk menonjolkan keunikan dialek tempatan kita yang tidak dapat dijumpai di tempat lain.

 “Buku masakan milik penulis asalnya Toh Puan Seri Aishahtun yang merupakan isteri bekas Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad juga akan dicetak semula dengan kandungan yang lebih tebal, gambar yang menarik dan lebih cantik untuk mengambarkan kepada pelancong bagaimana rupa dan bentuk kuih-muih tradisional Terengganu,” ujarnya kepada sidang media selepas majlis penyerahan cek kepada PELITA di Wisma Darul Iman, baru-baru ini.

Katanya, sejarah Batu Bersurat yang menceritakan tentang permulaan penyebaran agama Islam di negeri ini yang dijumpai di Sungai Tersat, Kuala Berang turut menjadi kebanggaan rakyat tempatan untuk dikongsi dan diceritakan kepada pelancong asing yang datang ke Terengganu nanti.

 “Semua ini adalah usaha kerajaan negeri untuk menarik lebih ramai pelancong datang ke Terengganu sekaligus menjana ekonomi sampingan masyarakat setempat,” tambah beliau.