Halaman

07 November 2012

Derita pesara tentera dapat perhatian JKKK, belia Sekati

Oleh: Aida Abd Rahman

Nasib seorang penduduk yang berasal dari Kampung Sekati, Manir tetap mendapat perhatian wakil penduduk dan pemimpin dari kampungnya apabila menerima kunjungan Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Belia 4B (M) Cawangan Sekati, kelmarin.


Lawatan ke rumah pesakit berkenaan, Ghazali Awang yang tinggal di Perumahan Awam Kos Rendah Wakaf Tengah, Batu Rakit yang menghidap kencing manis dan buah pinggang diketuai Pengerusi JKKK Pulau Sekati, Encik Mohamad @ Awang Abd Rahman.

Ghazali yang juga Orang Kurang Upaya selepas kakinya dipotong akibat penyakit yang dihidapi itu kini terpaksa menyara keluarga dan anak-anak serta membiayai perubatan menerusi wang pencen sebagai pesara tentera.

Turut menyertai lawatan itu, Timbalan Pengerusi JKKK merangkap Ketua Gerakan Belia 4B(M) cawangan itu, Mohd Yassin Embong bersama 10 AJK JKKK dan belia.

Aktiviti menziarahi yang dijalankan setipa bulan itu bertujuan bertanya khabar selain menyampaikan sumbangan hamper dan berusaha mencari saluran yang betul untuk memastikan Ghazali mendapat bantuan yang sewajarnya bagi meringankan bebanan yang ditanggung.

Sebelum ini, penderitaaan yang ditanggung Ghazali turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri Teluk Pasu, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said yang menyampaikan sumbangan kerusi roda, selain bantuan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu.