Halaman

06 November 2012

JANGAN SILAP TAFSIR MENGENAI AYAT ALQURAN TIDAK ADA PAKSAAN

Oleh: Ruslan Abdul Rahman 

Ahli Dewan Undangan Negeri Adun Tepoh, Haji Mohd.Ramli Noh menyifatkan kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar mengenai kebebasan beragama, termasuk kepada orang Melayu amat mengelirukan dan boleh menyesatkan umat Islam.

 Katanya, penafsiran Ahli Parlimen Lembah Pantai tentang tiada paksaan dalam beragama di dalam ayat al-Quran surah al-Baqarah (ayat 256) amatlah tidak tepat.

Firman Allah s.w.t, "Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam); Sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat.

Ayat itu bukannya memberi makna orang Melayu yang telah Islam tidak boleh dipaksa kekal dalam agama Islam dan boleh juga memilih agama lain, sebagaimana tafsiran Nurul Izzah kerana ahli tafsir menafsirkan bahawa ayat ini dituju kepada orang yang belum memeluk Islam dan jika mahu mereka memeluk Islam hendaklah bukan dipaksa tapi atas kerelaan dan kefahaman hasil dari dakwah.

Kata Haji Mohd.Ramli, tafsiran yang sebenar ayat tersebut bahawa orang Islam tidak boleh memaksa orang kafir untuk masuk Islam, namun jika sekiranya mereka telah Islam, dia mesti atau wajib mengikut ajaran dan peraturan yang telah ditetapkan Islam dan boleh dihukum menurut hukuman Islam jika membuat kesalahan yang bertentangan dengan hukum Islam.

Agama Islam tidak boleh disamakan dengan agama-agama lain atau disebut sebagai fahaman pluralisme di mana semua agama dianggap sama sahaja, katanya kepada Pengarang Teganukita mengulas kenyataan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah yang berpendapat kebebasan agama juga bukan sahaja kepada bukan Islam, tetapi setara, melibatkan orang Melayu (Islam) juga.

Beliau yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri Terengganu menyifatkan kenyataan NurulIzzah itu cukup mengelirukan dan boleh menyesatkan.