Halaman

04 November 2012

AES diyakini bantu kurangkan kemalangan jalan raya

Oleh: Mastura Jamaluddin 

Datuk Ismail Ahmad
Jabatan Pengangkutan Jalan(JPJ) yakin pemasangan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik(AES) dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya dan berharap agar orang ramai faham tentang konsep serta tujuan pemasangannya.

Timbalan Ketua Pengarah JPJ Malaysia, Datuk Ismail Ahmad berkata, masyarakat perlu memahaminya dengan jelas agar tidak berterusan melihat pemasangan AES dari sudut negatif sebaliknya ia adalah untuk kebaikan bersama khususnya pengguna jalan raya.

“Berdasarkan rekod tahun 2011, jumlah kemalangan dicatatkan di seluruh negara ialah kira-kira 500,000 kes dan daripada jumlah tersebut 6,877 membabitkan kemalangan maut.

 Manakala, jumlah kerugian kerosakan kenderaan menjangkau RM9 bilion. “Jumlah itu sebenarnya satu angka yang tinggi.

Sebagai salah satu usaha bagi mengurangkan kadar kemalangan ialah melalui pemasangan 831 kamera AES secara berperingkat dalam masa 18 bulan di seluruh negara.

“Usaha ini diyakin akan dapat mengurangkan kadar kemalangan dan apabila ia berjaya dikurangkan secara tidak langsung juga menurunkan jumlah kerugian kerosakan kenderaan akibat kemalangan. Orang ramai diharapkan dapat melihat secara lebih jelas tujuan pemasangan AES ini.

 “Lokasi pemasangan AES ini dipilih berdasarkan beberapa faktor antaranya ialah kadar kemalangan bagi tempoh lima tahun terakhir ini setelah kajian terperinci oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia serta beberapa agensi lain yang berkaitan.

 “Kajian lokasi pemasangan dilakukan penuh teliti bukan sewenang-wenangnya walaupun mungkin ada tanggapan mengatakan ia tidak sesuai dipasang di kawasan berkenaan. Bagi negeri Terengganu, kita telah mengenalpasti 49 lokasi pemasangan AES ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Program 1Komuniti 1JPJ di Dataran Padang Kachung, di sini, semalam yang disempurnakan perasmiannya oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang.