Halaman

10 November 2012

Adi mahu tumpaskan juara empat kali Sukan SEA

Oleh: Aida Abd Rahman

Atlet lontar peluru kelahiran Marang, Adi Aliffudin Hussin yang meraih emas olahraga pertama Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) pada hari pertama kejohanan di Stadium MSN, Bukit Jalil, semalam mahu menjana momentum bagi menewaskan juara empat kali Sukan SEA, Chatchawal Polyeng selepas gagal dalam dua cubaannya sebelum ini di temasya Laos 2009 dan Indonesia 2011.

 Adi, 24, dua kali terpaksa akur dengan kejaguhan badang Thailand itu untuk sekadar berpuas hati dengan pingat perak, namun dia berazam untuk menokhtah penguasaan seterunya yang memegang rekod temasya 17.74 meter itu pada Sukan SEA akan datang di Myanmar tahun depan.

"Matlamat utama saya untuk tahun depan adalah mengalahkan Chatchawal akhirnya. Sukan SEA 2013 adalah penampilan ketiga saya sejak Korat 2007 yang mana saya bermula tanpa meraih sebarang pingat, diikuti dua perak pada dua temasya berikut, kedua-dua pun tewas kepadanya.

 "Saya mahu pingat emas lontar peluru menjadi milik saya tahun depan, tetapi saya perlu mula berusaha memperbaiki catatan peribadi terbaik yang juga rekod kebangsaan iaitu 17.53m (pada kejohanan-kejohanan akan datang) jika ingin mencapai matlamat itu," kata penuntut tahun akhir Ijazah Pembangunan Sumber Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM).

 Atlet yang meraih emas olahraga pertama SUKIPT ternyata berada pada kelas tersendiri dengan lontaran berjarak 16.33m, langsung bukan tandingan dua pencabar terdekatnya iaitu rakan sepasukan, Shahrin Salamat (13.83m) dan Tan Li Wern (12.73m) yang mewakili Politeknik Melaka.

 Mengakui catatan itu kurang memberangsangkan, Adi mempersoalkan kenapa acara lontaran dipertandingkan pada sebelah pagi.

"Mengikut pengalaman saya di peringkat antarabangsa, lontar peluru atau acara lontaran lain lazimnya berlangsung pada sebelah petang atau malam.

Kalau diadakan pada awal pagi, badan rasa 'ketat', otot masih belum cukup regang, jadi tidak berada pada tahap terbaik untuk membuat lontaran," jelasnya.

 Adi akan mewakili negara ke Sukan Universiti ASEAN pada Disember ini dan mempertahankan cuba dua pingat emas yang dimenanginya pada dua edisi sebelum.

UPM turut membolot dua lagi emas menerusi J. Karthik dalam acara 5,000m dan Norliyana Kamaruddin bagi lompat tinggi wanita.

Hasrat UPM menyapu bersih empat emas dipertandingkan semalam bagaimanapun tidak kesampaian apabila Daveera Sali Liau yang mewakili Politeknik Mukah Sarawak, mengungguli acara merejam lembing lelaki.

 Sukan karate-do yang membuka gelanggang pula menyaksikan penguasaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), apabila Wong Ken Yinn mengaut emas berganda dalam acara kata (pertunjukan) individu dan berpasukan.