Halaman

06 November 2012

Ladang Gemilang 1 selesa

Oleh: Noraini Jusoh

 Cantik, selesa dan moden merupakan tiga perkataan yang boleh menggambarkan pangsapuri Ladang Gemilang 1 yang terletak di tengah-tengah Bandaraya Kuala Terengganu.

 Di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, kerajaan negeri Terengganu telah membelanjakan berjuta-juta ringgit bagi membina kediaman yang lebih selesa khusus untuk penduduk asal Kampung Ladang.

Berpegang kepada prinsip ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan, kerajaan negeri melalui projek perumahan rakyat telah mengadakan majlis penyerahan kunci kepada penduduk yang layak mendiami pangsapuri terbabit pada pertengahan tahun 2010.

Setelah lebih kurang dua tahun mendiami pangsapuri 16 tingkat tersebut, pelbagai reaksi positif diterima daripada penghuninya. Menurut Khatijah Awang, 56, yang merupakan seorang ibu tunggal berkata, tinggal di pangsapuri terbabit memberikan keselesaan kepadanya sekeluarga.

 “Jika dahulu kami tinggal di rumah kayu yang serba kekurangan, tetapi setelah berpindah ke pangsapuri yang mempunyai tiga bilik ini, segala kemudahan juga lengkap disediakan.

 “Walaupun bayaran sewa RM300 sebulan yang sedikit membebankan saya yang hanya bekerja sebagai tukang sapu, tetapi saya tetap bersyukur kerana keprihatinan kerajaan negeri yang telah menyediakan tempat buat kami berlindung,” katanya kepada Teganukita semasa ditemui di pangsapuri terbabit, baru-baru ini.

Rakannya, Zazawati Hamzah, 33, berkata jika hendak dibandingkan dengan harga sewa sebenar seunit pangsapuri di luar sana yang jauh lebih tinggi, harga seunit pangsapuri yang telah diberikan subsidi oleh kerajaan negeri ini agak berpatutan.

“Saya bersama suami dan seorang anak merupakan antara penghuni terawal mendiami pangsapuri ini. “Sekiranya hendak dibandingkan dengan orang lain, kami agak bertuah kerana masih mempunyai tempat tinggal,” katanya.