Halaman

10 November 2012

Penerima APC gembira

 Oleh: Noraini Jusoh

“Perasaan saya sungguh gembira sekali apabila tersenarai sebagai antara penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) pada kali ini.

 “Syukur ke hadrat Ilahi kerana memberikan kesihatan yang baik kepada saya seterusnya dapat memberikan seluruh komitmen ketika menjalankan tugas yang diamanahkan,” kata Kamarulzaman Mahmood yang merupakan bapa kepada seorang cahaya mata.

Beliau merupakan salah seorang daripada 15 penerima anugerah di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Meraikan Persaraan Kakitangan Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) 2012 yang berlangsung di Dewan Serbaguna PPAT, baru-baru ini.

Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Haji Mazlan Ngah telah menyempurnakan majlis pemberian anugerah kepada mereka yang cemerlang.

 Kamarulzaman yang merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Kepujian Sains Pengajian Maklumat dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah menabur bakti dalam perkhidmatan awam selama 13 tahun.

 “Sebelum ini saya pernah bekerja dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai pembantu tadbir dan pernah menerima APC pada tahun 2006.

“Pada tahun 2008, saya berpindah ke bahagian Perkhidmatan Perpustakaan dan Maklumat PPAT dan memegang jawatan sebagai pustakawan,” ujarnya ketika ditemui Teganukita selepas selesai majlis tersebut.

Menurut beliau, majlis menghargai jasa pekerja perlu sentiasa diadakan supaya mereka rasa dihargai seterusnya sebagai pembakar semangat untuk meningkatkan mutu kerja.

 Katanya, anugerah yang diterima juga atas kerjasama yang erat dan saling membantu antara kakitangan PPAT dan berharap rakan sekerjanya yang lain turut berkongsi kegembiraan dengan penghormatan kali kedua yang diterimanya sebagai penerima APC.