Halaman

08 November 2012

JPAM buka bilik gerakan 24 jam

Oleh: Noraini Jusoh



Bilik gerakan banjir Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Terengganu, akan diaktifkan 24 jam sehari sekiranya banjir melanda negeri ini.

 Anggota JPAM yang bertugas di bilik gerakan banjir di Gong Badak, Syed Ahmad Nakib Syed Idrus berkata, 30 anggota dari jabatan terbabit sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga bagi menghadapi kemungkinan berlakunya banjir.


“Bagi menjalankan kerja-kerja menyelamat, kami sentiasa bersedia menolong mangsa banjir tidak kira siang atau malam,” katanya ketika dihubungi Teganukita semalam.

 Katanya, bagi daerah Kuala Nerus antara kawasan berisiko dan selalu dilanda banjir adalah di sekitar Tok Jembal dan Bukit Guntong.

 “Walaupun bencana banjir belum melanda negeri ini, pihak kami telah membuat persiapan rapi termasuk sentiasa memastikan kemudahan logistik berada dalam keadaan terkawal.

 “Bot dan pacuan empat roda perlu sentiasa berada dalam keadaan baik bagi melancarkan operasi menyelamat nanti,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, difahamkan setakat hari ini bencana banjir telah melanda empat buah negeri termasuk Perak, Selangor, Melaka dan Johor.