Halaman

06 November 2012

LPT 2 dijangka siap akhir 2014

Oleh: Aida Abd Rahman

Projek Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) Fasa 2 dijangka dapat dibuka sepenuhnya kepada orang ramai pada akhir 2014.



Sehingga kini, sebanyak 60 hingga 70 peratus daripada projek yang melibatkan 17 pakej itu sudahpun siap dengan dua daripadanya diserahkan tahun ini dan tiga pakej lagi pada tahun depan.


Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, berkata berdasarkan taklimat kemajuan LPT Fasa 2 oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) minggu lalu, kegagalan kontraktor menyiapkan mengikut tempoh ditetapkan dan timbul masalah berkaitan projek menyebabkan dua pakej perlu ditender semula.

“Ada pakej yang sudah siap sepenuhnya dan ada yang sedang rancak disiapkan yang dijangka selesai tahun depan. Dua pakej dijangka akan diserahkan pada November dan Disember tahun ini, manakala tiga pakej lagi dijangka siap pada2013.

“Kita minta pihak LLM dan Jabatan Kerja Raya supaya mana-mana pakej (jajaran) yang berjaya disiapkan dan bersambung itu dibuka kepada orang ramai tanpa perlu menunggu siap sepenuhnya, sebagaimana jalan Kampung Gemuroh-Bukit Besi yang mula dibuka untuk kemudahan umum sejak Ogos tahun lepas,” katanya kepada pemberita, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, baru-baru ini.


Dua pakej yang ditender semula membabitkan pakej empat melibatkan laluan sepanjang 7.3 kilometer (km)menghubungkan Stesen Penyelidikan Mardi ke Ladang Cherul, Kemaman serta pakej tujuh sepanjang 13.7 km dari Bukit Mempusi ke Felda Kertih 6, Kemaman.

Katanya, pihaknya berharap pada awal 2013 sebahagian pakej dan jajaran boleh dibuka kepada orang ramai, sekali gus dapat mengurangkan kesesakan trafik di laluan pantai khususnya pada musim perayaan.

“Kemudahan LPT ini menjadi alternatif kepada pengguna untuk mengurangkan kesesakan di jalan pantai (Kuala Terengganu-Kuantan) terutama pada musim perayaan apabila orang ramai bersesak-sesak memasuki dan meninggalkan Terengganu,” katanya.


LPT 1 sepanjang 160 km,menghubungkan Karak ke Kuantan, Pahang siap pada 2004. Sementara LPT 2 sepanjang 185 km bermula dari Jabur dan berakhir di Gemuruh, di bahagian utara Kuala Terengganu.

Infrastruktur yang melibatkan lebuh raya bertaraf tinggi dengan empat -lorong dua hala, dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti 10 persimpangan bertingkat, kawasan rehat dan rawat, hentian sebelah, lampu jalan dan plaza tol dengan berasaskan kriteria reka bentuk serta pemilihan laluan.

 LPT 2 menjadi perintis kepada pembangunan kawasan pedalaman dan mempercepatkan lagi pertumbuhan tiga negeri Pantai Timur untuk memenuhi objektif kerajaan dalam menyeimbangi pertumbuhan ekonomi di antara semua negeri-negeri di Malaysia.