Halaman

08 November 2012

Ikon sukan, Mohd Azlan Iskandar cetus motivasi pelajar SMK Seri Cheneh

Oleh: Aida Abd Rahman



Pelbagai usaha digembleng kerajaan, Pertubuhan Bukan Kerajaan serta pemimpin setempat bagi meningkatkan motivasi golongan pelajar supaya lebih bersemangat menempuhi alam pendidikan serta mampu meraih kejayaan sekali gus dapat mencorak masa depan yang lebih gemilang.

Terbaru, seramai 100 pelajar dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Cheneh, Kemaman menerima kunjungan ikon sukan negara bagi acara skuasy, Mohd Azlan Iskandar dalam program motivasi bertemakan `tiada jalan ringkas menuju kejayaan’, yang berlangsung di sekolah itu, pagi ini.

Program dianjurkan pihak sekolah dengan inisiatif Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Putih, Haji Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar menerusi Kementerian Belia dan Sukan.

Haji Wan Abdul Hakim berkata, kehadiran idola sukan terkenal tanah air yang meraih pelbagai kejuaraan di peringkat antarabangsa khususnya Asia itu sebagai suntikan semangat kepada guru dan pelajar yang berlangsung menerusi interaksi dua hala dan sesi dialog bagi berkongsi pengalaman atlet skuasy itu sejak kanak-kanak dan sepanjang kariernya sehingga kini.

 “Saya berpandangan program ini cukup penting dalam usaha membangkitkan iltizam dan dorongan kepada pelajar serta guru bahawa kejayaan tidak datang bergolek, selain perlu disulami dengan usaha, komitmen dan keyakinan dalam diri.

“Selepas saudari Azlan, mungkin kita akan menjemput idola sukan yang sudah mempunyai nama yang cukup gah di peringkat dunia seperti Datuk Lim Chong Wei (badminton)dan Nicole Anne David (skuasy) sebagai inisiatif merangsang motivasi pelajar kita di sekitar Kemaman,khususnya di DUN Air Putih ini” katanya kepada Teganukita.

Beliau berkata, program itu juga mampu mempromosikan acara skuasy bagi menarik minat pelajar supaya aktif bersukan dan memanfaatkan kemudahan prasarana sukan yang terdapat di Kemaman, kehadiran atlet terkenal itu juga memberi peluang terbaik kepada pelajar berkomunikasi secara langsung berbanding sebelum ini mereka hanya sekadar melihat dan mengetahui perkembangan atlet tersebut menerusi media massa.

Azlan, 30, merupakan atlet kelahiran Sarawak yang berdarah campuran Melayu dan Scotland mula berkecimpung dalam sukan skuasy sejak berusia lapan tahun sebelum bakatnya dikenal pasti bekas ketua jurulatih kebangsaan, Mejar (B) S. Maniam, tiga tahun kemudian.

Beliau kemudian menyertai Program Tunas Gemilang pada 1998 di bawah Institut Sukan Negara, bertujuan mencungkil atlet muda berbakat yang berusia antara tujuh hingga 12 tahun.

Pada usia 17 tahun, beliau beralih menjadi pemain profesional di Malaysia dan beraksi dalam beberapa kejohanan tempatan.

Ikon sukan negara itu turut meraih 14 kali kejuaraan di Jelajah Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA) selepas melayakkan diri ke pentas final kejohanan itu sebanyak 24 kali ketika menjadi pemain profesional termasuk kejohanan Bluenose Classic di Kanada awal tahun ini dan Terbuka Amerika Utara pada tahun lalu.

Beliau juga pemenang pingat emas Sukan Asia 2010 dan juara tiga kali Terbuka Malaysia selain berjaya berada pada kedudukan ke-10 dunia pada 2011.