Halaman

04 November 2012

Kaum India Kemaman usul pemasalahan dengan Menteri Besar

Oleh: Nurul Aziela Saberi

 Sekitar 500 orang masyarakat India disambut meriah dengan pelbagai persembahan tarian Bollywood dan tarian Melayu di Dewan Dato’ Seri Amar semalam. Majlis tersebut diadakan bagi meraikan kaum India di sekitar Kemaman bersempena Hari Deepavali.

Kanak-kanak yang hadir turut dirai dengan ‘angpau’ raya setiap seorang malah warga emas dan orang kurang berkemampuan juga mendapat sumbangan wang riggit daripada Parlimen Kemaman bagi membuat persiapan menjelang Deepavali nanti.

Wakil Timbalan MIC Bahagian Kemaman, V. Rasamanickam berkata, lebih kurang 1200 orang masyarakat India di Kemaman yang kebanyakannya menetap di sini menggunakan dewan serbaguna yang terletak berhampiran kuil di Jalan Air Putih untuk sebarang program mahupun perjumpaan.

Namun begitu keadaan dewan tidak selamat digunakan lagi dengan pemasalahan sistem peparitan yang rosak, tandas yang tidak boleh digunakan dan kos membaik pulih keseluruhan dewan itu menelan belanja hingga ratusan ribu.

Masyarakat India di sini amat berharap pihak kerajaan negeri dapat membantu dan memberi sedikit sumbangan kepada MIC Kemaman untuk menyelesaikan pemasalahan tersebut.

Di samping itu, beliau turut mengutarakan usul mengenai pengundi India seramai 25% yang berkerja di luar Kemaman untuk memohon kos pengangkutan pergi dan balik apabila menjelang Pilihan Raya nanti.

Menurutnya lagi, masyarakat India di sini amat berharap dapat berjumpa dengan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said untuk mengutarakan beberapa pemasalahan yang berlaku dalam kalangan mereka.

Menteri Belia dan Sukan, YB Dato’ Ahmad Shabery Cheek dalam ucapannya berkata masyarakat India sekarang tidak lagi dipinggirkan malah peroleh keistimewaan tersendiri.

Sehubungan itu, beliau berjanji akan berusaha untuk menyelesaikan pemasalahan kaum India di Kemaman seberapa segera dan akan membuat susulan mengenai perjumpaan dengan Menteri Besar katanya yang mewakili Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang tidak dapat hadir kerana menghadiri majlis yang sama di peringkat negeri Terengganu.

Turut hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Dato’ Mohamed Awang Tera, Naib Ketua UMNO Bahagian Kemaman, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid, Ketua Wanita UMNO Bahagian Kemaman, Senator Hajah Rohani Abdullah dan Pengerusi MIC Negeri R. Suppiah.