Halaman

05 November 2012

Penghuni Pangsapuri Ladang bersatu

Oleh: Noraini Jusoh 

Perbezaan fahaman politik tidak menjadi penghalang kepada penghuni pangsapuri Ladang Gemilang 1 mengadakan aktiviti kemasyarakatan secara bersama.

Ketua Wanita Umno, Pangsapuri Ladang Gemilang 1, Puan Salbiah Yusof berkata, walaupun terdapat perbeza fahaman politik, kaum wanita di sini khususnya sentiasa bekerjasama dan saling tolong menolong menjayakan sesuatu aktiviti yang dianjurkan.

“Sebagai contoh, melalui program salam sayang yang pihak kami anjurkan ini umpamanya, selain dapat berkumpul mengadakan majlis bacaan yasin yang dapat mengeratkan silaturahim di antara penduduk, program sebegini juga dapat membuka ruang kepada penghuni di sini duduk berbincang menyelesaikan sesuatu masalah yang dihadapi.

“Melalui perbincangan, kita dapat meyelesaikan sesuatu isu yang timbul dengan lebih berkesan tanpa perlu menunding jari kepada pihak-pihak tertentu,” ujarnya ketika ditemui Teganukita selepas selesainya program tersebut, semalam.

Puan Salbiah berkata, hubungan seperti adik beradik antara penghuni pangsapuri terbabit memudahkan mereka berurusan.

 “Saya sangat berpuas hati kerana program salam sayang pada kali ini mencapai sasaran kerana sebahagian besar yang hadir terdiri daripada pembangkang.

 “Tujuan pihak kami menganjurkan program sebegini sebenarnya adalah untuk memberi penjelasan lanjut kepada kaum wanita khususnya mengenai isu-isu yang sering diputarbelitkan oleh pihak pembangkang terutamanya isu hak milik pangsapuri Ladang Gemilang 1.

 “Justeru, pihak kami telah menjemput Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri Ladang, Dato’ Haji Wan Hisham Wan Salleh untuk memberi keterangan lanjut serta membuka peluang kepada penghuni disini mendapat penjelasan daripada Dato’ secara terus,” ujarnya.

 Katanya, dalam perkembagan lain, Persatuan Wanita Umno Pangsapuri Ladang Gemilang 1 turut aktif menganjurkan aktiviti kemasyarakatan lain, antaranya seperti majlis sebatang kara, gotong royong membersihkan surau serta aktiviti ziarah orang sakit untuk mengekalkan hubungan baik antara mereka yang telah lama terjalin.