Majlis Pembangunan Ekonomi Pantai Timur (ECER) melabur sebanyak RM20 juta bagi membangunkan ladang herba seluas 406 hektar di Durian Mentangau, Dungun.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, pelaksanaan di bawah projek Kelompok Herba ECER itu mampu mengukuhkan kedudukan ECER sebagai pusat kecemerlangan industri yang mampan dan berdaya maju dalam industri herba.
Menurutnya, pembangunan industri itu membantu mempercepatkan pembangunan industri herba dan bioteknologi di ECER, memacu pertumbuhan ekonomi di kawasan luar bandar, meningkatkan peluang pekerjaan dan keusahawanan.
“Kerajaan negeri menyokong penuh usaha ini dengan menyerahkan tanah terbiar yang asalnya milik Lembaga Tabung Amanah Warisan Terengganu (LTAWT) kepada ECER untuk dibangunkan dan memberi faedah kepada rakyat tempatan khususnya.
“Manakala, LTAWT akan dapat tanah ganti,” katanya kepada pemberita di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir, di sini semalam selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pembangunan ECER negeri yang turut disertai Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mazlan Ngah dan Ketua Pegawai Eksekutif ECER, Datuk Jebasingam Issace John.
Sebelum itu, Ahmad dan rombongan turut meninjau pembangunan projek Pulau Bebas Cukai di Pulau Bayas.
Sementara itu, Jebasingam menyeru para penggiat industri, yang mempunyai kepentingan utama dalam industri herba menerokai peluang-peluang dan mengambil bahagian di dalam pembangunan kelompok herba dan bioteknologi di ECER.
Katanya, projek yang akan bermula Januari tahun depan itu bakal menjamin kesediaan bahan mentah seiring, dengan hala tuju Malaysia dalam menjadi peneraju pengeluaran nutraceuticals dan ubatan botani bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP).
Jelas beliau, projek tersebut akan memberi fokus terhadap produk-produk farmasi, nutrisi dan bioteknologi bernilai tinggi yang dihasilkan untuk pasaran eksport.
“Dalam pembangunan taman herba di ECER, kami telah mengenalpasti 10 herba berpotensi tinggi untuk dibangunkan dan pasaran yang sangat besar, terutama dalam bidang nutraceuticals dan phytomedicine.
“Herba-herba tersebut adalah dukung anak, hempedu bumi, misai kucing, kacip fatimah, tongkat ali, roselle, noni, lemon myrtle dan gaharu,” tambahnya.
Tambah Jebasingam, selain di Durian Mentangau, projek ladang herba ECER turut dibangunkan di Chegar Perah, Lipis, Pahang seluas 327 hektar dan Rantau Manis, Gua Musang, Kelantan seluas 323 hektar.