Halaman

24 November 2012

300 jawatankuasa KRT Daerah Besut hadir taklimat Akta Rukun Tetangga


Seorang peserta mengemukakan soalan mengenai Akta RT

Oleh: Mohammad Ishak 

Seramai 300 ahli jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Daerah Besut menghadiri majlis taklimat Akta Rukun Tetangga 2012 yang berlangsung di Demong Beach Resort, Bukit Keluang, Besut, hari ini.

Majlis anjuran Pejabat Perpaduan Daerah Besut itu bertujuan memberi penerangan lebih jelas mengenai fungsi dan peranan yang dilakukan oleh jawatankuasa KRT termasuk pengurusan Skim Rondaan Sukarela (SRS).

Ketua Unit Rukun Tetangga,Jabatan Perpaduan Negeri Terengganu, Asrolnizam Mamat menyampaikan taklimat hampir tiga jam mengenai akta baru yang diluluskan oleh Perlimen baru-baru ini.

Pegawai Perpaduan Daerah Besut, Nor Almizan Mahmod berkata, ahli KRT perlu diberi penjelasan lebih jelas kerana akta itu yang akan dikuatkuasakan Januari 2013 memerlukan banyak perubahan.

Katanya,walaupun akta lama masih diguna pakai tetapi beberapa perubahan yang dipinda dan diberi penambahbaikkan perlu diketahui oleh setiap ahli jawatankuasa KRT.

Menurutnya, ketika ini daerah Besut mempunyai 43 KRT yang berperanan sebagai organisasi yang mampu memberi khidmat sukarela kepada komuniti setempat.

Nor Almizan berkata, proses penubuhan KRT di daerah itu dilakukan setiap masa berikutan sambutan menggalakkan daripada penduduk daerah itu.

Sementara itu, Asrolnizam berkata, ketika ini sesi taklimat itu sudah dilakukan di daerah Kemaman, Dungun, Marang, Kuala Terengganu, Setiu, Besut dan terakhir di Hulu Terengganu tidak lama lagi.

Karnival Usahawan RISDA 2012 beri manfaat kepada usahawan

Oleh: Noraini Jusoh

Berteraskan slogan ‘Menjana Usahawan Global’ Karnival Usahawan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) 2012 dan Pelancaran Kelab Usahawan RISDA (RISEC) Peringkat Nasional telah berjaya menghimpunkan ramai usahawan RISDA di bawah satu bumbung melalui pelbagai aktiviti yang bermanfaat.

Karnival yang berlangsung selama tiga hari bermula 22 November tersebut menyediakan pelbagai aktiviti menarik seperti demostrasi gubahan bunga daun getah, pameran dan gerai jualan produk usahawan, serta taklimat agensi seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Agrobank.

Selain itu, para usahawan khususnya dan orang ramai yang berkunjung ke karnival yang berlangsung di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) tersebut amnya, juga dapat menyertai pertandingan karaoke, sukaneka terbuka, cabutan bertuah serta pelbagai aktiviti menarik lain yang disediakan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Haji Asha’ari Idris berkata kerajaan negeri sentiasa berusaha memperkasa bidang keusahawanan dengan mempertingkatkan penglibatan usahawan tempatan terutamnya dalam bidang pembuatan, perdagangan, perkhidmatan dan peruncitan dengan menyediakan kemudahan pinjaman perniagaan, kursus serta latihan dan bimbingan kepada para usahawan.

"Justeru melalui karnival seumpama ini contohnya, usahawan RISDA khususnya boleh manfaatkan peluang yang disediakan untuk mempromosikan produk masing-masing.

"Pihak kerajaan telah sediakan jalan serta peluang dan menjadi tanggungjawab para usahawan untuk tingkatkan usaha demi menjana pendapatan yang lebih lumayan,” ujarnya dalam ucapan aluan sempena majlis perasmian penutup karnival tersebut yang berlangsung di Galeri A, TTC, hari ini.

 Katanya, beliau difahamkan jumlah usahawan RISDA di negeri ini kira-kira 772 orang serta seramai 28,485 orang pula pekebun kecil RISDA, justeru beliau mengharapkan RISDA akan terus membimbing usahawan dikalangan rakyat Terengganu demi merealisasikan hasrat kerajaan negeri untuk melahirkan lebih ramai usahawan dari kalangan rakyatnya.

 Haji Asha’ari yang mewakili Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, penghargaan harus diberikan kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) serta RISDA yang telah berjaya menganjurkan karnival yang dapat menjadi platform kepada para usahawan dalam menambah pengalaman serta meningkatkan pengetahuan untuk lebih memajukan perniagaan masing-masing.    



Penduduk Terengganu usah sokong Pas

Pengikut dan penyokong Pas diminta supaya mengkaji semula sokongan mereka terhadap parti itu yang semakin bertindak keterlaluan dan melampaui batasan, termasuk mendoakan kehancuran sesama umat Islam.

Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, Dato’ Haji Abdul Rahman Bakar, berkata memang selama ini pemimpin Pas sentiasa bertindak mendoakan kehancuran pemimpin BN dan Umno.

“Perkara ini berlaku sejak 12 kali pilihan raya diadakan di negara ini, tetapi tindakan mereka mengadakan solat hajat dan mendoakan kehancuran Umno dan BN secara terbuka, memang melampau dan tidak boleh diterima,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta penghikut dan penyokong Pas supaya tidak lagi memberi sokongan mereka kepada parti yang membelakangkan ajaran Islam itu, bagi kebaikan semua pihak.

“Doa orang-orang Pas ini bertentangan dengan syarak dan berlawanan dengan Sunnah Rasulullah s.a.w. Justeru itu, kira harap penduduk negeri ini tidak lagi bersubahat dengan cara terus memberi sokongan mereka kepada Pas,” tambah beliau.

Beliau berharap mereka kembali ke pangkal jalan dan mengalih sokongan kepada Umno dan BN bagi menguatkan kerajaan yang sedia ada.

“Kita harap dengan sokongan padu daripada rakyat, pemimpin BN dapat melaksanakan lebih banyak program bagi meningkatkan syiar Islam di negara ini,’ katanya.


UMT mampu bersaing di peringkat global-Sultanah Terengganu

Oleh; Esah Abdullah


Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah melahirkan keyakinan dengan keupayaan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk bersaing di peringkat global dalam era globalisasi yang kian mencabar dan iklim ekonomi dunia yang semakin kompetitif.

 Titah baginda, bagi memperkukuhkan daya saing graduan,  UMT perlu berusaha untuk melahirkan lebih ramai modal insan  yang kreatif dan inovatif melalui program-program akademik yang menjurus kepada pembangunan modal insan.

Sultanah Nur Zahirah yang juga Canselor UMT bertitah demikian di majlis Konvokesyen UMT Ke-10 di Dewan Sultan Mizan UMT hari ini. Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke majlis itu.



Hadir sama Menteri Besar Dato’Seri Haji Ahmad Said dan isteri To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Pro-Canselor UMT,  Tan Sri Samsudin Osman dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan beserta isteri.

“Beta  bangga apabila Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah mengiktiraf Institut Oseonografi dan Sekitaran (INOS) sebagai Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi yang ketujuh dan berharap melalui pengiktirafan ini  INOS dapat melonjakkan keupayaan dan pencapaian dalam bidang tujahan kelestarian ekologi marin selain menjadi pemangkin kepada aktiviti penyelidikan dan pembangunan UMT.


“Beta turut merasa bangga dengan pencapaian pelajar UMT yang menyerlah bukan sahaja dalam akademik malahan dalam kemahiran insaniah dan kejayaan mereka dalam beberapa pertandingan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa amat  menyerlah,” titah baginda.

Titah baginda, selain penekanan kepada aspek pengajaran dan penyelidikan, UMT harus terus berusaha memperkasakan kapasiti dan kualiti pegawai akademik, pegawai pengurusan dan profesional serta kakitangan sokongan  agar mengamalkan budaya kerja cemerlang yang menjadi visi dan misi universiti sebagai asas penghasilan perkhidmatan yang bermutu tinggi.

 “Dalam situasi masyarakat kini yang berhadapan dengan krisis integriti, pembudayaan amalan integriti perlu diperkukuhkan bagi menjamin keberkesanan dan kebolehpercayaan proses pengajaran, pembelajaran, penyelidikan, penerbitan dan khidmat masyarakat di samping mampu memperteguhkan keperibadian pelajar sebagai modal insan  yang jujur dan berakhlak mulia,” titah baginda.



Tuanku Canselor UMT itu kemudiannya merakamkan setinggi tahniah kepada graduan di atas kejayaan menamatkan pengajian dan juga semua ibu bapa, penjaga dan keluarga yang mengharungi  pelbagai rintangan mendidik dan membesarkan anak-anak  dalam suasana  semakin mencabar ini.

Majlis konvokesyen kali ini menyaksikan 2,080 orang graduan berjaya menamatkan pengajian masing-masing, iaitu 102 menerima sijil  diploma, 1866 menerima ijazah sarjana muda manakala 99 orang penerima ijazah sarjana dan 13 orang menerima ijazah doktor falsafah.

 







BN tetap pilihan rakyat

Oleh: Mastura Jamaluddin

Biar apapun doa bala bencana terhadap Barisan Nasional (BN), ia tetap menjadi pilihan rakyat sejak dari tahun 1957 lagi.

Doa pemimpin dan pengikut Pas supaya Tuhan menghacurkan BN dan Umno menunjukkan Pas sudah tertekan, seolah-olah hilang punca ingin menjatuhkan Barisan Nasional.

PAS jelas telah mula diresapi fahaman firqah atau golongan ekstrem hingga sanggup mengadakan solat hajat dan berdoa supaya Umno dihancurkan.
 
Antara kandungan doa itu ialah meminta Umno dan Barisan Nasional (BN) dijahanamkan seperti Firaun ditenggelamkan ke laut, Qarun ditelan bumi dan Namrud serta Abu Lahab dilaknati serta dipermudahkan pembangkang.

Imam Masjid Kampung Tapu ,Ustaz Haji Mat Bidin ketika di temui berkata doa yang di buat oleh Pas itu tidak sesuai dalam ajaran Islam.

“Ini adalah kerana sebagai umat Islam, kita tidak boleh mendoakan keburukan sesama islam kecuali kesejahteraan ,” ujar beliau.

Beliau berkata menggunakan perkataan 'jahanam' dan mendoakan supaya Umno hancur bukan amalan Islam sebaliknya datang daripada fahaman golongan Khawarij yang hanya menganggap bahawa mereka sahaja betul berbanding dengan orang lain.

“Sepatutnya kita berdoa untuk kebaikan dan keselamatan orang islam di saat orang bukan islam cuba menjatuhkan bangsa kita dan bukannya suruh KO. Kita kena ingat sepatutnya kita bersatu menentang pihak yang cuba menghancurkan Islam,” kata beliau ketika di temui Teganu Kita.

“Makin banyak ilmu makin jadi bodoh dan sesat sebab tu mendoakan kemusnahan sesama Islam..Sepatutnya doa untuk kesejahteraan umat Islam, tapi sebaliknya.

“Makin hari Pas makin gila kuasa duniawi bab tu yg halal jadi haram yang haram jadi halal.Kalau begini sudah tentu KO berbalik kepadanya...........Insyallah PRU 13 menjadi milik kita.

“Allah menilai keikhlasan manusia bukan pada jubah, serban tetapi keikhlasan itu dinilai pada hati. Saya langsung tak berminat pada perjuangan Pas dari dulu,kini dan selamanya.

"Setiap menghadapi PRU ada je agenda dan niat jahat Pas.” kata Bilal Mohd @ Mamat Mohd Ali.

Memberikan contoh keadaan Nabi Muhammad SAW yang direjam dengan batu oleh penduduk Taif ketika berdakwah, beliau menegaskan baginda tidak mendoakan kehancuran mereka malah berdoa supaya mereka akan beriman kepada Allah SWT.

 

Langkah efektif cegah denggi

Oleh: Aida Abd Rahman

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menasihatkan orang ramai memberi perhatian serius terhadap peningkatan kes denggi di seluruh negeri sepanjang tahun ini dengan mengambil langkah-langkah pencegahan dan kawalan penyakit demam denggi secara efektif dan berterusan.

Pengarah JKNT, Dr Anwa Sulaiman, berkata langkah yang perlu dilaksanakan seperti meluangkan masa setiap hujung minggu untuk mengesan dan memusnahkan sebarang tempat atau bekas pembiakan nyamuk aedes di dalam dan luar rumah serta premis.

“Pada masa yang sama, orang ramai juga harus peka dan melibatkan diri secara aktif dalam program gotong-royong yang dianjurkan oleh kawasan perumahan atau kampung yang didiami. “Kita juga harus menyediakan aerosol pembunuh nyamuk untuk menyembur tempat-tempat nyamuk bersembunyi di rumah dan persekitaran premis ,” katanya dalam satu kenyataan kepada media, baru-baru ini.

Dr Anwa berkata, masa berada di luar rumah juga perlu dihadkan di mana orang ramai perlu menghindari diri daripada terdedah kepada waktu nyamuk aktif mencari mangsa khususnya pada awal pagi dan senja.

Selain itu, katanya jika mengalami demam, segera mendapatkan rawatan jika mengalami demam kerana tindakan rawatan awal ini akan memudahkan pengesanan kes dan pelaksanaan aktiviti kawalan serta pencegahan denggi yang lebih berkesan.

 Menurutnya, orang ramai juga perlu memberi kerjasama dengan membenarkan anggota kesihatan menjalankan aktiviti semburan kabus di rumah atau premis untuk langkah pencegahan.


25 ,000 akaun pengguna Satu alami gangguan air

Oleh: Suriati Ali

 Kira-kira 25,000 akaun pengguna Syarikat Air Terengganu (Satu) akan mengalami gangguan bekalan air terutama pada waktu puncak akibat kerja-kerja pengubahsuaian paip air di Jalan Kemajuan, Kuala Terengganu, esok (26 November).

 Antara kawasan yang terlibat, Pulau Duyung, Kampung (Kg) Seberang Tuan Chik, Kg Bukit Tunggal, Taman Semarak, Gong Kijang Kg Bukit Datu, Kg Pengkalan Arang dan Kg Pak Katak.

Antara kawasan lain Kg Batu Enam, Kg Tok Jiring, Kg Padang Air, Kg Banggol Air Lilih, Kg Wakaf Tembesu, Jalan Lapangan Terbang, Kg Telaga Batin , Kg Duyung, Kg Telok Ketapang, Seberang Takir, Kg Hulu Takir, Kg Bukit Tok Beng, Kg Batin, Kg Gong Pauh dan Kg Bukit Tumbuh.

 Ketua Pegawai Eksekutif, Haji Husain Embong, berkata pengguna di kawasan terlibat dinasihatkan menyimpan air yang mencukupi sebelum gangguan bekalan air berlaku pada tarikh tersebut.

 “Satu sedang berusaha untuk meminamakan kesan gangguan bekalan air ini melalui pengezonan semula agihan bekalan air ke kawasn yang terlibat.

 

Durian runtuh 112,636 keluarga peneroka FELDA bukti prihitin kerajaan kepada peneroka

Oleh: Mohammad Ishak 

Selepas peneroka diikuti isteri kini generasi kedua FELDA pula mendapat nikmat durian runtuh fasa ketiga apabila kerajaan memberikan mereka RM5,000 kepada anak-anak peneroka yang tinggal di rancangan tanah terbesar itu.

Pemberian durian runtuh membolehkan seramai 112,636 keluarga mendapat manfaat daripada penyenaraian agensi itu di Bursha Malaysia pertengahan tahun ini.

Sebagaimana diumumkan Perdana Menteri,Datuk Seri Naijb Tun Razak, ia bertujuan mempastikan warga FELDA mendapat faedah daripada penyenaraian di bursha berkenaan.



Kerajaan Barisan Nasional (BN) menunaikan janji itu apabila RM563.2 juta diperuntukkan untuk diagihkan kepada keluarga peneroka FELDA di seluruh negara.

Sebelum ini keluarga peneroka FELDA tidak pernah bermimpi untuk menerima sejumlah RM15,000 daripada kerajaan sejak mereka tinggal di rancangan tanah berkenaan.

Malah, dengan pemberian itu warga FELDA dilihat mendapat lebih banyak manfaat daripada mereka yang tinggal di luar FELDA.

Bagi anak peneroka yang menghadapi masalah tempat tinggal Perdana Menteri juga mengumumkan pembinaan 4,000 unit rumah mampu milik melalui pelan transformasi Projek Sentuhan Kasih bermula awal Disember ini.

Menerusi program itu kerajan memperuntukkan RM120 juta bagi membolehkan warga FRLDA mendapat rumah kediaman lebih selesa selain meningkatkan pendapatan dan sosio ekonomi.

Rumah banglo yang dicadangkan itu berukuran 1,000 kaki persegi berharga RM70,000 yang dibina mengikut Sistem Pembinaan Industri (IBS) atau pasang siap.

Pengurus Wilayah Terengganu,Mohd Helmi Fakhzan Abd Wahab (gambar), berkata peneroka FELDA di Terengganu juga tidak ketinggalan menikmati kemudahan mendapatkan banglo berkenan apabila lima daripada 20 rancangan tanah FELDA negeri ini akan dipilih menerusi program berkenaan.