Halaman

14 December 2012

JKKK Rumah Awam Seberang Jertih terbit kalendar 2013



Oleh: Mohammad Ishak

 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Awam Seberang Jertih, mengagihkan kalendar tahun 2013 secara percuma kepada semua penduduk yang tinggal di kawasan pentadbiran organisasi terbabit

Setiausahanya, Wan Mohamad Ibrahim berkata, pihaknya mencetak 300 keping kalendar 2013 untuk diedarkan kepada semua warga perumahan berkenaan bermula hari ini.

Katanya, kalendar mengandungi gambar-gambar masjid utama di seluruh negara termasuk Masjid Kristal,Kuala adalah usaha pertama dilakukan oleh JKKK negeri ini yang menyediakan kalendar khas kepada orang ramai,” katanya.

Menurutnya, Terengganu, sebahagian khidmat komuniti JKKK terbabit kepada komuniti setempat. Menurutnya, pengagihan kalendar terbabit adalah tahun kedua dilakukan oleh JKKK berkenaan selepas mula dilaksanakan tahun ini.

“Saya percaya ia dengan adanya kalendar itu diharap penduduk di kawasan pentadbiran JKKK itu dapat memanfaatkanya untuk aktiviti harian dan bulanan.

Beliau berkata, kalendar itu juga dicetak pada kertas bermutu tinggi setaraf dengan yang dikeluarkan oleh syarikat swata dan kerajaan.

Menurutnya, JKKK berkenaan yang dipilih mewakili daerah Besut untuk Pertandingan Kebersihan dan Keindahan Kampung Peringkat Negeri Terengganu tahun ini sedang giat menyiapkan landskap dan meningkatkan tahap kebersihan di kawasan sekitar.

Sidang DUN-Pembangunan untuk kekalkan penempatan Melayu

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri mempunyai tanggung jawab sosial iaitu membantu menyelamatkan tanah orang Melayu daripada terus jatuh ke tangan bangsa lain.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, sebelum kerajaan negeri melaksanakan pembangunan di Kampung Ladang, sudah 50 lot tanah (lebih empat hektar) di kawasan itu berpindah milik kepada bukan Bumiputera.

 “Untuk menyelamatkan tanah orang Melayu daripad terus hilang, kerajaan ambil tanah dan bina penempatan yang selesa kepada mereka ,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Bajet 2013 pada pada hari terakhir Sidang Undangan Negeri (DUN) semalam.

Menjawab soalan Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (Pas-Batu Buruk) yang mendakwa kerajaan ambil tanah rakyat sebagai ingin merosakkan masa depan orang melayu di bandar Kuala Terengganu.

 “Inilah tanggung jawab kerajaan Barisan Nasional (BN) sebenarnya yang membela nasib semua bangsa dan sama sekali tidak mengabaikan kebajikan mereka termasuk membina kediaman yang selesa kepada mereka,” katanya.

Untuk makluman katanya, selepas dibuat semakan tanah-tanah Melayu yang terdapat dari bulatan Ladang hingga ke Flat Seri Kolam dan menganjur ke Astaka merupakan tanah yang menjadi idaman semua orang.

“Jadi untuk memenuhi tanggung jawab itulah kerajaan negeri melalui Tabung Amanah Warisan Negeri mengambil balik tanah-tanah tersebut untuk dibangunkan bertujuan untuk mengekalkan penempatan orang Melayu dalam bandar,” katanya.

Menurutnya, kalau untuk berniaga adalah tidak berbaloi kerana kos yang kita ambil terlalu mahal dan terpaksa buat rumah di kawasan bandar dengan kos yang tinggi serta beri subsidi yang juga tinggi.

Contohnya rumah pangsa Ladang Gemilang, rumah yang dibina melebih rumah yang dirobohkan di kawasan itu dan telah dibayar pampas an dan setengahnya diberi ihsan kerana ada yang menduduki di tanah haram.

“Perumahan Ladang Gemilang mempunyai 280 unit rumah sedangkan mereka yang tinggal di kawasan itu diberi rumah 220 unit dan berbaki 60 unit, maknanya tidak timbul mereka yang tidak dapat rumah, semuanya dapat ,” katanya

 

Doktor jalani akreditasi kepakaran sebelum berkhidmat di Hospital Besut

Oleh: Aida Abd Rahman

Sepasukan pegawai perubatan sedang menjalani status akreditasi bagi pengesahan kepakaran sebelum berkhidmat sepenuhnya di Hospital Besut (HB) yang bakal dinaiktaraf sebagai Hospital Berpakar tidak lama lagi.

Pasukan perubatan berkenaan yang diwujudkan menerusi program perkongsian pintar antara Kementerian Kesihatan, Institusi Pengajian Tinggi Swasta serta pakar perubatan dan pembedahan dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UniSZa itu bakal menawarkan perkhidmatan kesihatan dan perubatan termasuk melakukan pembedahan di HB.

“Memorandum Persefahaman (MoU) sudah ditandatangani bagi merealisasikan hasrat itu serta pasukan doktor pakar juga sedang menjalani akreditasi bagi mengesahkan kepakaran mereka sebelum dibenarkan berkhidmat di Hospital Besut,” kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan,Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr A Rahman Mokhtar.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada hari ketiga Persidangan DUN, kelmarin (12 Disember).

Hospital Besut sebuah hospital daerah tanpa pakar yang beroperasi pada Oktober 1975 dengan kapasiti 124 katil ditingkatkan kepada 140 katil bagi menampung keperluan pesakit yang semakin bertambah.

Sebelum ini, masalah kekurangan kemudahan peralatan dan doktor pakar di HB sering dibangkitkan penduduk daerah itu menyebabkan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu mengambil langkah mengemukakan cadangan  itu kepada kementerian untuk menaiktaraf HB sebagai Hospital Berpakar.

Sementara itu, Dr A Rahman berkata pembinaan `Teaching Hospital’ atau Hospital Pengajar UniSZa sedang di peringkat penelitian dan perbincangan antara Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Unit Perancang Ekonomi (EPU).

 “Skop hospital berkenaan pada fasa pertama adalah menempatkan 100 katil dengan kos kira-kira RM150 juta.

 “Insya-Allah apabila hospital berkenaan siap, kemudahan itu bukan sahaja dapat memberi perkhidmatan kepada rakyat Kuala Nerus, malah mampu mengurangkan kesesakan pesakit yang mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah,” katanya.

 Hospital Pengajar UniSZa berharga RM150 juta yang dijangka siap pada 2015 bakal menawar program peringkat pasca siswazah seterusnya melahirkan lebih ramai pakar perubatan di negara ini.

UniSZa bakal menjadi universiti kelima di negara ini memiliki hospital sendiri selain Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

 

Umno perhebat media baru

Peranan pasukan media baharu yang diwujudkan di negeri ini sejak dua tahun lalu akan digerakkan secara lebih agresif sebagai menyahut seruan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak mengenainya dalam Perhimpunan Agung UMNO lalu.

Langkah itu akan diperhebatkan mulai sekarang dengan disertai para blogger dan pengguna Facebook bagi menangkis segala bentuk tohmahan serta fitnah pembangkang dalam usaha menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.

Ketua Penerangan UMNO negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, bagi tujuan itu pelbagai usaha sedang giat dilakukan bagi mengumpul lebih ramai para blogger dan pengguna Facebook dalam mendepani serangan pembangkang.

Beliau memberitahu, buat masa ini, kesemua mereka yang menganggotai pasukan media baharu itu ditempatkan di setiap bahagian UMNO di negeri ini dengan sebahagiannya adalah para blogger pengguna Facebook muda.

“Sebenarnya Terengganu sudah pun ada pasukan media baharu ini di bawah penerangan UMNO dan Barisan Nasional negeri sejak dua tahun lalu.

“Tapi dimulakan sekarang secara lebih agresif yang akan mengumpulkan blogger dan pengguna Facebook di setiap bahagian dan mereka akan bergerak sepenuh masa bagi mendapatkan segala input untuk menghadapi segala isu dicetuskan pembangkang,” katanya.

Dato’ Haji Ahmad Razif turut memberi jaminan memastikan pasukan media baharu itu dimanfaatkan sebaik-baiknya dengan memfokuskan kepada para pengundi muda supaya mereka memperoleh maklumat tepat mengenai pelbagai isu.

“Mereka ini (pengundi muda) perlu diberi penjelasan tentang segala pembohongan pembangkang termasuklah hasrat menawan Putrajaya,” tambahnya.

 

Tambahan RM500,000 bantu pesakit kurang berkemampuan

Oleh: Aida Abd Rahman

Aspek kesihatan rakyat terus menjadi fokus kerajaan negeri apabila mengambil pelbagai langkah bagi meningkatkan perkhidmatan kesihatan termasuk menambah peruntukan Bantuan Kebajikan Sosial Perubatan berjumlah RM2 juta setiap tahun sejak 2007 kepada RM2.5 juta bermula tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr A Rahman Mokhtar, berkata pertambahan dana sebanyak RM500,000 itu bagi membantu pesakit kurang berkemampuan membiayai kos rawatan perubatan atau kos pembelian peralatan pesakit.

“Peruntukan ini diluluskan RM2 juta setahun sejak 2007 lagi telah ditambah sebanyak RM500,000 menjadi RM2.5 juta pada tahun depan.

 “Saya juga berterima kasih kepada YAB Menteri Besar (Dato' Seri haji Ahmad Said)  kerana bersetuju bagi membiayai pembinaan sebuah makmal dadah Amphetamine Type Stimulant (ATS) di Hospital Sultanah Nur Zahirah yang bernilai RM1.7 juta,” katanya ketika sesi penggulungan pada hari ketiga persidangan DUN, kelmarin (12 Disember).

YB Dr A Rahman berkata, keputusan berkenaan membuktikan hasrat dan komitmen Kerajaan Barisan Nasional untuk menangani masalah penggunaan dadah yang kian membimbangkan khususnya di kalangan generasi muda di negeri ini.

Selain itu, menerusi Bajet 2013, kerajaan juga turut memperkenalkan Kem Kesihatan ke seluruh daerah menerusi pemeriksaan kesihatan percuma, ceramah kesihatan, senamrobik dan kembara sihat kepada suri rumah dan masyarakat desa.

 Pada masa yang sama, kempen gaya hidup sihat juga akan diperkenalkan dengan fokus gaya hidup seharian kepada penjawat awam sama ada di rumah mahu pun di tempat kerja.

 

Petronas lunas royalti pada Mac tahun depan

Oleh: Suriati Ali 

Kerajaan Terengganu dijangka menerima sepenuhnya bayaran royalti petroleum daripada Petronas pada Mac tahun depan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Seri Ahmad Said bagaimanapun tidak menyebut jumlah bayaran itu, tetapi memberi jaminan, ia akan disalurkan menerusi Kerajaan Pusat berdasarkan persetujuan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat.

Katanya, kaedah pembayaran itu pula bergantung pada polisi Petronas yang lazimnya dibayar dua kali setahun.

"Untuk tahun ini, kita menerima bayaran lebih RM2 bilion yang dibayar pada 1 Mac dan 1 September tahun ini manakala tahun lalu, kita terima RM1.6 bilion.

"Bagi tahun depan pula, Petronas akan membayar keseluruhan royalti pada Mac 2013 dan setakat ini kita belum ketahui jumlah sebenar yang akan dibayar kerana masih dalam proses rundingan," katanya.

 Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membentangkan Bajet Terengganu 2013 pada Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini.

Terdahulu, ketika menjawab soalan Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (Pas-Batu Buruk) pada persidangan itu, Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, kerajaan negeri telah menghantar surat rasmi kepada Petronas bagi mendapatkan penjelasan mengenai penemuan minyak di blok pm 307 dan pm 309 Bertam.

Katanya, kerajaan negeri belum menerima jawapan rasmi daripada Petronas, tetapi surat daripada syarikat yang menjalankan kerja-kerja cari gali di kawasan itu telah diterima dan mengesahkan blok pm 307 dan pm 309 adalah di dalam perairan Terengganu.

Dato’ Seri Haji Ahmad seterusnya berkata, penarikan balik saman kerajaan Terengganu terhadap Petronas berasaskan persetujuan Kerajaan Pusat untuk menjelaskan pembayaran kesemua yang diterima daripada Petronas kepada kerajaan pusat.

"Bayaran itu kemudian disalurkan kepada kerajaan negeri yang dikenali sebagai dana khas sebagaimana dalam perjanjian asal yang turut menyebut dua kali pembayaran dibuat iaitu pada Mac dan September.

"Semuanya akan diterima sepenuhnya pada tahun hadapan dan tiada potongan atau apa-apa yang dilakukan," katanya.

 

Graduan UMT mudah dapat kerja

Lebih 60 peratus graduan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada tahun ini berjaya mendapat peluang pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian. Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMT, Prof. Dr. Yahaya Ibrahim berkata, jumlah tersebut meningkat berbanding tahun lalu sekitar 30 peratus sahaja. Katanya, ia menunjukkan potensi graduan universiti itu semakin mendapat perhatian dan tempat dalam industri terutamanya melibatkan bidang sains marin dan laut. "Kita telah membuat kajian di mana graduan UMT berjaya mendapat pekerjaan sebaik sahaja menduduki peperiksaan akhir dan kebanyakan mereka telah bekerja ketika hadir pada hari konvokesyen.
"Sebahagian mereka juga berjaya mendapat kerjaya yang baik malah berjawatan tinggi dalam pelbagai bidang terutamanya berkaitan marin di mana ia merupakan bidang tumpuan UMT," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Cari Kerja 1 Graduan 1 Kerjaya di UMT, Kuala Terengganu baru-baru ini. Karnival yang berlangsung selama tiga hari bermula 6 hingga 8 Disember itu menyediakan 12 gerai pameran daripada pelbagai agensi dan jabatan. Dalam pada itu, Prof Dr Yahaya berkata, pihaknya akan mengumpul dan mengemaskini data-data pelajar dari semasa ke semasa bagi memperoleh maklumat terkini status pekerjaan graduan mereka. Jelasnya, graduan UMT mempunyai kelebihan tersendiri dalam industri apabila memiliki kemahiran insaniah yang jarang dimiliki graduan universiti lain seperti memiliki lesen skuba. "Mereka mempunyai kemahiran tambahan yang memudahkan mereka mendapat tempat dalam industri dan kita yakin peratus graduan memperoleh pekerjaan selepas tamat pengajian akan meningkat setiap tahun," jelasnya. Dalam pada itu, beliau turut meminta lebih banyak agensi dan syarikat milik kerajaan (GLC) di negeri ini terlibat dalam karnival kerjaya yang diadakan institusi pengajian tinggi (IPT) bagi membolehkan lebih banyak peluang pekerjaan didedahkan kepada pelajar.

13 December 2012

TERENGGANU MUNCUL JUARA UJIAN KELAS KAFA 2012

Oleh: Ruslan Abdul Rahman 

Terengganu mencipta sejarah lagi dalam arena pendidikan apabila muncul sebagai negeri jumlah tertinggi murid mendapt 8A dalam Ujian Penulisan Kelas Kafa (UPKK) 2012.

Hal ini diumumkan sendiri oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Jamil Khir Baharon di Putrajaya kelmarin. Menurut beliau.tiga belas buah negeri mencatatkan keputusan lulus seratus peratus dalam peperiksaan Ujian Penulisan Kelas Kafa (UPKK) 2012 berbanding 12 buah negeri pada tahun lepas.

Katanya, hanya Wilayah Persekutuan mencapai keputusan 99 peratus lulus.

"Secara keseluruhan, 24,962 calon mendapat 8A berbanding 17,684 pada 2011. Jumlah tertinggi mendapat 8A ialah di Terengganu iaitu sebanyak 21.69 peratus, diikuti Melaka 21.50 peratus dan Sabah sebanyak 18.34 peratus," katanya kepada pemberita pada majlis pengumuman keputusan peperiksaan itu.

Katanya bagi kelulusan mengikut mata pelajaran pula, subjek Amali Solat mencatat kadar kelulusan tertinggi iaitu 99.93 peratus diikuti Penghayatan Cara Hidup Islam 99.91 peratus manakala bidang al-Quran 98.47 peratus.

 Seramai 186,966 calon menduduki peperiksaan UPKK 2012 yang diadakan dari 1 hingga 4 Okt lepas. Exco Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Pendidikan Terengganu, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman ketika mengulas perkara ini berkata, inilah suatu kejayaan lagi yang perlu kita syukuri.

 

Sidang DUN-Konsep 3K bantu 20,000 ibu tunggal

oleh; Esah Abdullah

Nasib 20,000 ibu tunggal di negeri ini akan terbela apabila kerajaan negeri memperuntukan RM20 juta untuk melengkap dan memperkasakan golongan itu melalui konsep 3K iaitu kepimpinan, kemahiran dan keusahawanan.


 Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan , Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Dato’ Haji Yahya Khatib Mohamad berkata, kerajaan menyediakan peruntukan begitu besar bagi meningkatkan taraf hidup golongan itu.

“Kita akan memberi tambah nilai kepada program keusahawanan dengan menaikkan had pinjaman daripada RM10,000 kepada RM20,000 mulai tahun depan,” katanya ketika sesi Penggulungan Wakil-wakil Kerajaan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Katanya, 32 buah kelab ibu tunggal di seluruh negeri juga bakal menerima sumbangan mengurus organisasi sebanyak RM5,000 setahun mulai Januari tahun depan berbanding RM2,000 sebelum ini.

Sehubungan itu katanya, sebuah Pusat Pengurusan dan Aktiviti bernilai RM1.5 juta akan dibina di atas tanah yang di wakaf oleh seorang ibu tunggal untuk dijadikan pusat aktiviti golongan itu.

“Semua ini mengambarkan keperihatinan dan sikap kerajaan Barisan Nasional (BN) merialisasikan ajaran Islam seperti yang terdapat dalam Surah al-Maa’un ayat 1-7,” katanya.

Selain itu, kerajaan juga bersetuju memberi sumbangan RM2,000 kepada ibu tunggal yang bakal berkahwin semula bagi meringankan beban mereka.

 “Janji BN, janji ditepati dan insya-Allah jika diberi mandat sekali lagi pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang kita akan terus membantu kebajikan rakyat seluruhnya,” katanya.

Katanya, dalam bajet 2013 sebanyak RM 110 juta diperuntukkan di bawah portpolio kebajikan, masyarakat dan wanita untuk memberi ksejahteraan serta meningkatkan taraf hidup golongan itu.





Terengganu tubuh sekretariat TMT2013



Kerajaan negeri menubuhkan sebuah Sekretariat Pelancongan bagi menerajui pelaksaaan aktiviti, galakan dan promosi pelancongan sempena Tahun Melawat Terengganu 2013 (TMT 2013).


Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said berkata logo TMT 2013 akan dipaparkan pada setiap bahan promosi dan galakan pelancongan yang bakal diadakan di dalam dan luar negara.

“Terdapat sebanyak 34 program yang disusun sempena TMT 2013,” katanya ketika menjawab soalan Muhamad Ramli Nuh (BN-Tepoh) pada persidangan Dewan Undangan Negeri, semalam.
Dato’ Abdul Rahin berkata, kerajaan negeri mengadakan kerjasama yang erat dengan ejen pelancongan terutamanya Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu (PPNT) bagi mengadakan bengkel dari semasa ke semasa.

Katanya, kerjasama itu antaranya bagi mengadakan aktiviti seperti Matta Travelfair di Kuala Lumpur, Travel Malaysia di Singapura, World Travel Mart di London dan ekspo di Hong Kong, negara Asean dan di Berlin, Jerman di samping Arab Travel Market di Dubai serta beberapa misi jualan ke Sydney, Melbourne, China dan negara jiran.

Kepada soalan tambahan YB Muhamad Ramli mengenai kurangnya promosi TMT 2013, Dato’ Abdul Rahin berkata keghairahan menyambut TMT 2013 bermula pada Januari lepas menerusi penganjuran pertandingan mencipta logo oleh kerajaan negeri.

“Tentang pembinaan pintu-pintu gerbang, kain rentang dan lain-lain yang kurang rancak, kita terpaksa akur kepada bajet yang akan dibentangkan hari ini. Kita telah meminta peruntukan yang secukupnya untuk persediaan fizikal TMT 2013,” katanya.

Mengenai tata susila dan adat berpakaian pelancong asing terutama dari Eropah yang datang ke negeri ini, beliau berkata ia tertakluk kepada undang-undang di bawah pihak berkuasa kerajaan tempatan.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (Pas-Batu Buruk), Dato’ Abdul Rahin berkata kerajaan Terengganu tidak pernah melarang penduduk Pulau Redang daripada memelihara binatang ternakan seperti lembu dan kambing di pulau peranginan itu.

Bagaimanapun, katanya jika tiada kawalan yang tertentu dan haiwan ternakan pula dibiarkan bebas, ia akan merosakkan pemandangan.

“Saya merasa dukacita apabila melihat lokasi pelancongan yang indah di pulau itu dicemari dengan najis kambing dan lembu. Ini kerana kita perlu satu pemandangan yang menyeronokkan apabila kita datang ke sesuatu tempat yang bertujuan untuk mengekalkan minat pelancong,” katanya.