Halaman

14 December 2012

Petronas lunas royalti pada Mac tahun depan

Oleh: Suriati Ali 

Kerajaan Terengganu dijangka menerima sepenuhnya bayaran royalti petroleum daripada Petronas pada Mac tahun depan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Seri Ahmad Said bagaimanapun tidak menyebut jumlah bayaran itu, tetapi memberi jaminan, ia akan disalurkan menerusi Kerajaan Pusat berdasarkan persetujuan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat.

Katanya, kaedah pembayaran itu pula bergantung pada polisi Petronas yang lazimnya dibayar dua kali setahun.

"Untuk tahun ini, kita menerima bayaran lebih RM2 bilion yang dibayar pada 1 Mac dan 1 September tahun ini manakala tahun lalu, kita terima RM1.6 bilion.

"Bagi tahun depan pula, Petronas akan membayar keseluruhan royalti pada Mac 2013 dan setakat ini kita belum ketahui jumlah sebenar yang akan dibayar kerana masih dalam proses rundingan," katanya.

 Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membentangkan Bajet Terengganu 2013 pada Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini.

Terdahulu, ketika menjawab soalan Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (Pas-Batu Buruk) pada persidangan itu, Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, kerajaan negeri telah menghantar surat rasmi kepada Petronas bagi mendapatkan penjelasan mengenai penemuan minyak di blok pm 307 dan pm 309 Bertam.

Katanya, kerajaan negeri belum menerima jawapan rasmi daripada Petronas, tetapi surat daripada syarikat yang menjalankan kerja-kerja cari gali di kawasan itu telah diterima dan mengesahkan blok pm 307 dan pm 309 adalah di dalam perairan Terengganu.

Dato’ Seri Haji Ahmad seterusnya berkata, penarikan balik saman kerajaan Terengganu terhadap Petronas berasaskan persetujuan Kerajaan Pusat untuk menjelaskan pembayaran kesemua yang diterima daripada Petronas kepada kerajaan pusat.

"Bayaran itu kemudian disalurkan kepada kerajaan negeri yang dikenali sebagai dana khas sebagaimana dalam perjanjian asal yang turut menyebut dua kali pembayaran dibuat iaitu pada Mac dan September.

"Semuanya akan diterima sepenuhnya pada tahun hadapan dan tiada potongan atau apa-apa yang dilakukan," katanya.