Halaman

09 December 2012

Kacau 130 kawah bubur asyura di Parlimen Nerus

Oleh: Suriati Ali

Ketibaan Maal Hijrah setiap tahun pastinya tidak lengkap jika tiada acara memasak bubur asyura yang sudah menjadi sebahagian tradisi di kalangan masyarakat Islam negara ini.

Lebih meriah jika acara itu diadakan secara beramai-ramai dan bergotong-royong sekali gus dapat mengeratkan hubungan antara satu sama lain.

 Kesempatan itu diambil oleh Jawatankuasa Parlimen Kuala Nerus untuk mengadakan Pertandingan Memasak Bubur Asyura Perdana Parlimen Kuala Nerus di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, Seberang Takir, Kuala Terengganu, semalam.

Acara yang bermula kiri-kira pukul 7.30 pagi itu, disertai 130 kumpulan membabitkan 98 pasukan UMNO cawangan dan 32 pasukan lagi Pertubuhan Bukan Kerajaan (NG0).

Lebih meriah,juara pertandingan itu menawarkan wang tunai RM1,000 , tempat kedua RM900, ketiga (RM800), keempat (RM700) serta tempat kelima dan ke bawah layak menerima wang tunai sebanyak RM500.

Pada pertandingan itu, pasukan cawangan Bukit Tok Ris memenangi tempat pertama bagi kategori cawangan manakala tempat kedua (cawangan Taman Perumahan Bukit Tunggal) dan tempat ketiga digondol oleh kumpulan cawangan Padang Hangus.

 Bagi kategori NGO pula, pasukan Giat Mara Kuala Nerus menjadi Johan, Persatuan Penduduk Taman Perumahan Gong Badak 4 (tempat kedua) dan Kolej Inforana pula ditangga ketiga.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Mohd. Nasir Ibrahim Fikri.

 Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Haji Muhammad Ramli Nuh dan Pegawai Pembangunan DUN Bukit Tunggal, Haji Ismail Nik.

Pengerusi Jawatankuasa Perlaksana pertandinagan itu, Encik Ashari Khatib Hasan, berkata kira-kira RM66,000 diperuntukkan di mana setiap kumpulan menerima sumbangan sebanyak RM500 bagi menjayakan program kali kedua diadakan.

 Katanya, program bertujuan memupuk semangat dan kerjasama antara pasukan yang bertanding serta meneruskan kesinambungan budaya memasak bubur asyura secara berkumpulan.

 “Pertandingan bertemakan `Hantaran Perkahwinan” itu nyata membantu setiap kumpulan menampilkan pelbagai kreativiti dan hiasan, termasuk berbentuk keris, rumah, kek lapis dan sebagainya,” katanya.