Halaman

09 December 2012

Wahai ANAK, usah hasut peneroka

Analisis berita oleh: Kamarudin Mat Akib 

Tindakan peneroka Felda Selasih, Setiu, menyekat Konvoi Kembara Oren Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) yang disertai penyokong Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) daripada memasuki kawasan penempatan mereka kelmarin, menggambarkan bahawa peneroka sudah memahami niat sebenar pihak pembangkang.

Peneroka Felda kini sedar bahawa parti-parti pembangkang tidak ada kerja lain melainkan menghasut rakyat supaya membenci kerajaan dan memburuk-burukkan pemimpin kerajaan.

Sebelum ini, memang pihak pembangkang sering melakukan kerja-kerja terkutuk itu di tanah rancangan Felda di seluruh negara bagi kepentingan politik mereka.

Dalam ceramah mereka di kawasan penempatan Felda, pembangkang hanya pandai mencaci dan mencerca pemimpin kerajaan sedangkan mereka sedniri tidak berbuat apa-apa pun untuk membantu meningkatkan pendapatan peneroka.

Kini peneroka sedar bahawa kerajaan negeri dan Persekutuan bertindak menyediakan segala-gala kemudahan untuk mereka.

Bermula dari keluarga miskin ketika berada di kampung, kini peserta diberi kemudahan kediaman yang selesa di tanah-tanah rancangan Felda.

Dengan harga komoditi seperti getah dan kelapa sawit yang melambung tinggi sejak kebelakangan ini, peneroka Felda sudah mampu hidup mewah dengan memiliki kereta besar dan rumah besar.

Peneroka Felda mampu menghantar anak-anak melanjutkan pelajaran di IPT dalam negeri dan luar negara dengan biasiswa yang disediakan oleh kerajaan dan Felda.

Bahkan boleh dikatakan semua peneroka Felda di negeri ini sudah mendapat hak milik tanah yang mereka usahakan sejak berpuluh-puluh tahun lalu.

Tidak lama dahulu, peneroka Felda di seluruh negara menerima bonus RM5,000 bagi setiap peneroka. Selepas itu, isteri mereka pula menerima habuan RM5,000 bagi setiap keluarga dan selepas ini anak-anak peneroka pula akan diberi wang tunai RM5,000 bagi setiap keluarga.

Justeru apabila mendapat tahu ada pihak yang mahu menghasut mereka supaya membenci kerajaan ‘yang menyuap’ mereka, sudah pasti peneroka marah kerana tindakan itu tidak bertanggungjawab.

Mereka sudah maklum konvoi ANAK yang menjejalah tanah-ranah rancangan Felda sekarang ini tidak ada motif lain melainkan memburuk-burukkan kerajaan dan pengurusan Felda.

Oleh itu, tidak hairanlah jika peneroka Felda Selasih menghalang konvoi itu memasuki kawasan penempatan mereka kerana tidak mahu masyarakat itu berpecah belah kerana hasutan perseta yang menyertai konvoi berkenaan.

Dalam kejadian itu, kira-kira 200 peneroka termasuk isteri serta anak generasi kedua Felda Selasih berhimpunan secara aman dan menyekat kemasukkan konvoi di pintu masuk utama rancangan tanah berkenaan.

Peneroka menggunakan wanita sebagai benteng ketika membantah kemasukan 80 kenderaan pacuan empat roda yang menyertai konvoi kembara bermula dari Johor itu.

Selepas gagal memasuki Felda Selasih, akhirnya pihak ANAK terpaksa mengalah dan meneruskan konvoi ke Felda Tenang, Hulu Besut.

Halangan itu menyebabkan ANAK gagal meneruskan program untuk berceramah dan menyebarkan risalah menyebabkan kepada peneroka di Felda berkenaan.

Mengulas kejadian itu, Ahli Parlimen Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafiee berkata, tindakan pihak luar termasuk ANAK yang cuba memasuki Felda adalah tidak wajar kerana peneroka tidak mahu mereka mencampuri urusan Felda.

Katanya, sebagai anak peneroka persatuan itu tidak sepautnya menjalankan aktiviti yang bertentangan dengan Felda kerana ia dikhuatiri boleh memecah belahkan perpaduan antara peneroka terbabit.