Halaman

15 December 2012

Hampir 114,000 murid dapat e-Book percuma

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Seramai 113,922 murid sekolah rendah di seluruh negeri telah dibekalkan e-Book secara percuma sejak pemberian itu dimulakan pada tahun 2009.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata bagi tahun ini saja setakat bulan Oktober seramai 21,596 murid Tahun Empat sudah diberi kemudahan tersebut untuk pembelajaran mereka.

“Sejajar dengan pemberian e-Book pada tahun ini 2,069 orang guru pula dibekalkan dengan laptop (komputer riba) bagi membantu pengajaran dan pembelajaran mereka,” katanya ketika membentangkan Bajet 2013 pada sidang Dewan Undangan Negeri, kelmarin.

Menteri Besar berkata, program tersebut yang banyak memberi faedah kepada murid-murid akan diteruskan lagi pada masa akan datang.

“Sebagai pelengkap kepada e-Book pada tahun 2011 kerajaan telah memperkenalkan Program Kelas Maya kepada tiga buah sekolah iaitu SK Paya Bunga, SK Kompleks Seberang Takir dan SK Teluk Kalong.

 “Kejayaan sekolah perintis ini dalam melaksanakan Program Kelas Maya, mendorong kerajaan negeri pada tahun ini mengadakan satu dasar baru iaitu 1 DUN 1 Kelas Maya.

 “Sehingga September 2012, sebanyak 124 buah Kelas Maya di 41 buah sekolah di seluruh negeri telah ditubuhkan. Pada tahun depan, kerajaan menyediakan RM3.2 juta untuk program ini,” katanya.