Halaman

09 December 2012

PPAT pelawa dermawan hulur bantuan

Oleh; Esah Abdullah

Para dermawan dan ahli korporat di negeri ini dipelawa untuk mewakafkan bangunan bagi membantu Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) menyediakan perpustakaan desa di kawasan pendalaman.

Pengarahnya Hajah Nor Akmal Abdul Fatah berkata, pihaknya berhasrat untuk menggantikan perpustakaan desa yang sedia ada kerana sebahagian besar sudah uzur dan boleh menjejaskan keselamatan kepada pengguna.

“Kebanyakan bangunan yang dijadikan perpustakaan desa adalah bangunan balai raya dan ada sesetengah daripada bangunan kayu yang sudah terlalu uzur,” katanya.

Menurutnya, kini terdapat 90 perpustakaan desa di seluruh negeri di mana 51 buah adalah di bawah kelolaan PPAT dan 39 buah lagi adalah di bawah kelolaan Perpustakaan Negara.

``PPAT mempunyai peruntukan yang agak terhad bagi membina bangunan baru dan berharap ada dermawan di negeri ini untuk mewakafkan bangunan bagi mengganti yang telah uzur,’’ katanya.

Menurutnya, setiap tahun hanya dua bangunan baru sahaja dapat dibina berdasarkan peruntukan yang diluluskan dengan anggaran kos RM200,000 sebuah.

“PPAT menerima peruntukan RM2 juta setahun tujuan membeli pelbagai bahan bacaan untuk ditempatkan perpustakaan seluruh negeri,” katanya.

Sehingga kini sebanyak tujuh perpustakaan desa telah dibina baru antaranya di Ketengah, Wakaf Tengah, Kuala Telemong. Marang dan Besut.

Katanya, tahun depan dua perputakaan desa baru akan dibina iaitu di Seberang Pintasan, Dungun dan Kampung Matang, Hulu Terengganu.

`` Sambutan orang ramai terhadap perpustakaan desa yang ditempatkan di kampung-kampung amat menggalakkan dan berharap ada yang bermurah hati tampil membantu dalam usaha melahirkan lebih ramai masyarakat minat membaca,” katanya.