Halaman

09 December 2012

48 Kampung dipilih sertai tanaman jagung hibrid



Oleh: Mohammad Ishak 

Pejabat Pertanian Daerah Besut memilih 48 buah kampung dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Jertih untuk mengusahakan jagung hibrid di bawah Program Tanaman Keliling Rumah Pejabat Pertanian Daerah Besut hari ini.

Pelancaran program itu disempurnakan oleh ADUN Jertih, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Kampung Kubang Bemban dekat sini hari ini.

Menerusi projek itu, tiga orang yang terpilih dari setiap kampung diberi kit tanaman untuk menanam 30 pokok jagung dalam polibeg yang akan mengeluarkan hasil dan boleh dituai selepas 65 hari ditanam.

Pegawai Pertanian Daerah, Zulkepli Amin Mat Jusoh berkata, dalam tempoh itu prestasi tanaman peserta program akan dinilai dan jika didapati berjaya, ia akan diperluas kepada penduduk dalam kampung tersebut. '
'Berdasarkan kejayaan sebelum ini, setiap hektar tanah yang ditanam dengan tanaman jagung jenis itu mampu menghasilkan antara 25,000 hingga 35,000 tongkol jagung yang memberikan pendapatan yang agak lumayan. '

'Ini secara tidak langsung membolehkan penduduk menjimatkan perbelanjaan dapur selain memastikan mereka memperoleh sumber makanan yang lebih selamat berbanding yang dibeli di pasar-pasar," katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Idris dalam ucapannya berkata, penduduk perlu mengambil peluang mengusahakan tanaman jagung tersebut yang boleh ditanam sendiri dan lebih selamat untuk dimakan kerana bebas daripada penggunaan racun serangga perosak.

Katanya, sebagai galakan kepada penduduk supaya lebih tekun mengusahakan tanaman itu, satu pertandingan akan diadakan bagi memilih hasil tanaman yang baik dan bermutu tinggi.

"Ini bagi memastikan transformasi pertanian melalui inovasi bukan sahaja mampu meningkatkan hasil pertanian malah dapat juga memberikan sumber ekonomi kepada masyarakat," katanya..