Halaman

10 December 2012

JPNT anjur program himpunan kasih sayang komuniti 1Malaysia ‘Janji Ditepati’

Oleh: Noraini Jusoh

Jabatan Penerangan Negeri Terengganu (JPNT) bakal menganjurkan Program Himpunan Kasih Sayang Komuniti 1Malaysia ‘Janji Ditepati’ peringkat Negeri Terengganu bertempat di Padang Sekolah Kebangsaan Bukit Tunggal, selama dua hari bermula 14 Disember ini.

Pengarah JPNT, Puan Azizah Awang, berkata Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said dijangka meyempurnakan majlis perasmian program yang berkonsepkan ‘Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan’ itu nanti.

"Pelbagai acara menarik menanti pengunjung pada program yang dianjurkan dengan kerjasama Jawatankuasa Penyelaras Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Negeri Terengganu antaranya pameran serta kaunter perkhidmatan jabatan dan agensi kerajaan.

"Selain itu, aktiviti sukaneka, pertandingan memasak, gotong-royong membersih tanah perkuburan, forum perdana, persembahan kebudayaan dan jamuan rakyat turut diadakan pada hari tersebut,” ujarnya.

Menurut beliau, pengunjung yang hadir juga berpeluang memenangi cabutan bertuah yang menyediakan hadiah berupa barangan elektrik oleh pihak penganjur.

Katanya, sempena program itu juga JPNT dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Tunggal akan membaik pulih rumah penduduk yang kurang berkemampuan di kawasan sekitar.

Justeru, orang ramai terutamanya penduduk di kawasan sekitar dijemput hadir beramai-ramai untuk memeriahkan program tersebut.