Halaman

11 December 2012

Rakyat diajak supaya bersyukur

Oleh; Esah Abdullah

Rakyat negeri ini diajak supaya bersyukur dengan nikmat Allah kerana anugerah minyak dari perut bumi membolehkan perbelanjaan dibuat oleh kerajan untuk kesejahteraan rakyat.



Melalui anugerah itulah kerajaan mampu membuat pembentangan bajet tahun depan berjumlah RM1.995 bilion berbanding bajet 2012 sebanyak RM1.950 bilion iaitu pertambahan 2.3 peratus.

Ahli panel Majlis Penerangan dan Diskusi Bajet 2013, Dato’ Wan Mohd Al-Bakri Mohd Nor berkata, pertumbuhan ekonomi Terengganu 4.5 peratus manakala pertumbuhan ekonomi negara ialah 4.8 peratus dan 2.3 peratus bagi negara Amerika.

 “Negara dan negeri kita sudah berada di landasan cukup baik tetapi ada segelintir yang suka memuji-muji negara luar,” katanya di Majlis Penerangan dan Diskusi Bajet 2013 di Wisma Darul Iman petang semalam.

Katanya, kerajaan negeri tidak kedekut untuk melabur kepada rakyat, semua keperluan rakyat dipenuhi dan contoh terdekat semua pelajar tahun empat, lima dan enam diberi e-book secara percuma.

 “Kita mempunyai pengurusan kewangan cukup baik dan setiap hasil yang diterima kerajaan dibelanjakan untuk kesejahteraan rakyat,” katanya yang juga Ahli Lembaga Rayuan Negeri merangkap Ahli Lembaga Pengarah PTB.

Katanya, Terengganu bentang bajet yang besar kerana kemampuan yang kita ada semata-mata untuk memberi kesejahteraan kepada rakyat berbanding bajet Kelantan RM521 juta, Pahang (RM76 juta), Kedah (RM657 juta), Pulau Pinang (RM708 juta) dan Johor (RM908 juta).

 “Semua patut bersyukur dengan apa yang kita dapat dan dengan apa yang kita ada serta jangan asyik memuji orang lain yang tidak pernah menyumbang apa-apa kepada pembangunan di negara kita,” katanya..