Halaman

09 December 2012

Gotong-royong kacau asyura peringkat Daerah Marang.

 Oleh : Amirullah Othman 

Berat sama dipikul, ringan sama di jinjing...Itulah perumpamaan yang boleh diterjemahkan daripada Program Memasak Bubur Asyura peringkat Daerah Marang anjuran Pejabat Daerah Marang semalam.



Sebanyak 48 agensi dan jabatan menyertai program itu yang terdiri daripada jabatan-jabatan kerajaan dan JKKK di daerah Marang.

Bagi program kali ini, Pejabat Daerah Marang tidak menggunakan konsep pertandingan sebagaimana yang dilakukan sebelum ini atas permintaan JKKK yang inginkan penyertaan sebanyak mungkin serta kurang persediaan untuk tujuan pertandingan.

Sebanyak 36 buah JKKK menyertai program itu manakala selebihnya daripada agensi-agensi kerajaan.

Pegawai Daerah Marang, Haji A. Rahman Che Ali dalam ucapannya mengucapkan ribuan terima kasih atas semua penyertaan para peserta daripada jabatan-jabatan kerajaan mahupun JKKK yang menunjukkan sikap yang baik dengan konsep tolong menolong dalam memasak bubur asyura.

Beliau berkata, ini merupakan satu petunjuk kepada sikap istiqamah yang tinggi di kalangan peserta dan wajar diteruskan di masa-masa akan datang.



Bubur asyura yang telah siap dimasak sebahagiannya diagihkan kepada orang ramai yang membantu menjayakan program itu manakala sebahagian lagi diberikan kepada pengguna jalan raya yang lalu di hadapan Pejabat Daerah Marang.