Halaman

11 December 2012

Rakyat bakal raih untuk hasil usaha kerajaan

Oleh; Esah Abdullah

Perancangan kerajaan mengalih kebergantungan sumber negeri daripada minyak kepada bidang pelancongan dilihat suatu tindakan jauh ke hadapan dan jarang dilakukan oleh pemimpin lain.

Kerajaan negeri merancang mengurangkan kepada 70 peratus daripada 90 peratus kebergantungan hasil minyak dan 30 peratus lagi adalah pembangunan pelancongan.



Ketua Pegawai Eksekutif Epic Berhad, Encik Ramli Shahul Hameed berkata, apabila perancangan ini berlaku, keuntungannya akan terus mengalir kepada rakyat melalui kedai makan, kedai cenderahati, kedai batik dan sebagainya.

“Strategi yang dilakukan ini menggambarkan ketelusan dan kejujuran serta usaha yang bersungguh-sungguh melaksanakan apa yang diucapkan iaitu “Merakyatkan Pembangunan dan Pentadbiran’,” .

Beliau berkata demikian di majlis Penerangan dan Diskusi Bajet 2013 anjuran Unit Komunikasi Negeri di Wisma Darul Iman petang semalam. Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) Haji Azmi Razik bertindak selaku moderator.

Dua lagi panel jemputan ialah Ahli Lembaga Rayuan Terengganu merangkap Ahli Lembaga Pengarah PTB, Dato’ Wan Mohd Al-Bakri Mohd Nor dan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) Dato’ Haji Mohd Rozali Saleh.

Encik Ramli Shahul berkata, Menteri Besar ikhlas ingin memberitahu dan menunjukkan kepada rakyat berapa jumlah wang yang kerajaan ada bila mengumumkan Belanjawan lebihan RM10 juta tahun depan.

Menurutnya, jika rakyat negeri ini sentiasa berfikiran positif dan memberi sokongan terhadap perancangan kerajaan akan membantu mempercepatkan pembangunan pada masa akan datang.

Dari segi kerja pula pertumbuhan projek bermula dari Kemaman hingga ke Besut termasuk Hulu Terengganu boleh menjana lebih 10,000 peluang pekerjaan.

“Dengan peluang-peluang yang ada, semua rakyat di negeri ini boleh bekerja dan boleh dianggap sifar pekerja tetapi kita perlu hapus sindrom anak-anak muda yang tidak suka bekerja kepada suka bekerja, jika tidak ia akan disambar oleh orang luar,” katanya.