Halaman

11 December 2012

Durian Kampung Baung …Projek Perintis Dusun Pelancongan

Oleh: Mastura Jamaluddin


Kerajaan negeri Terengganu memilih Kampung Baung di Kuala Berang yang terkenal dengan keenakan durian kampungnya, sebagai projek perintis dusun pelancongan bermula tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Haji Rozi Mamat berkata sebagai permulaan, tiga penduduk kampung dipilih sebagai peserta projek dusun pelancongan itu.

Beliau berkata, mereka akan diberi pendedahan mengenai pengurusan dusun durian yang lebih efektif untuk menarik kedatangan pelancong dan sekiranya projek itu berjaya maka jumlah bilangan peserta akan ditambah.

"Lokasi kampung ini yang hanya 20 kilometer dari Tasik Kenyir akan memberi nilai tambah kepada pakej pelancongan di daerah ini," katanya kepada pemberita ketika menghadiri majlis jamuan durian perdana hari ini.

Kira-kira 1,500 biji durian telah dihidangkan kepada pejawat awam daerah Hulu Terengganu, 50 orang anak yatim dan pemimpin masyarakat setempat dalam jamuan durian perdana itu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Baung, Malek Salleh, berkata jamuan durian perdana itu adalah kali ketiga dianjurkan.

"Kira-kira 200 penduduk di kampung ini memang mempunyai dusun durian yang diwarisi turun temurun dan dalam setiap musim sebahagian besari daripada pemilik dusun durian mampu memperoleh pendapatan antara RM2,000 hingga RM10,000.

"Durian Baung sangat terkenal satu ketika dulu sekitar tahun 1970-an kerana keenakannya, tambahan pula pada waktu itu durian belum dikomersilkan lagi secara besar-besaran," katanya.

Ketika ini, durian yang bersaiz kecil dijual pada harga RM1 hingga RM2 sebiji jika dibeli di Kampung Baung manakala harga di Pasar Payang dekat sini adalah antara RM3 hingga RM4 sebiji bergantung kepada saiz.