Halaman

10 December 2012

MB bentang Bajet 2013 berjumlah RM1.995 bilion

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, hari ini membentangkan Bajet 2013 yang berjumlah RM1.995 bilion dengan mengekalkan tema “Merakyatkan Pentadbiran Dan Pembangunan: Bajet Kesejahteraan Rakyat” seperti yang digunakan bajet tahun lalu.



Bajet 2013 menyaksikan kenaikan sebanyak 2.3 peratus berbanding Bajet 2012 yang berjumlah RM1.950 bilion. Dari segi kutipan hasil bagi tahun 2013, kerajaan menganggarkan akan memperolehi hasil sebanyak RM2.005 bilion berbanding RM1.950 bilion pada tahun 2012.

Menteri Besar berkata, dengan mengambilkira jumlah hasil dan perbelanjaan mengurus, Bajet 2013 menjurus kepada Belanjawan lebihan sebanyak RM10 juta di mana penyediaannya sangat tepat dan selari dengan usaha kerajaan untuk melaksanakan perbelanjaan secara berhemah dan komitmen untuk mengurangkan defisit terkumpul dalam Akaun Hasil Disatukan.

Bajet 2013 yang dibentangkan pada sidang Dewan Undangan Negeri hari ini memberi fokus kepada empat strategi teras iaitu mengurang defisit, memantapkan pembangunan modal insan berkualiti, memelihara kesejahteraan rakyat dan meningkatkan daya saing negeri.

“Bagi memastikan kedudukan kewangan kerajaan negeri terus berdaya saing dan berdaya tahan, kerajaan memberi penekanan kepada langkah-langkah memperkukuhkan kedudukan kewangan negeri mlalui pengurusan fizikal kewangan yang ketat dan berhemah.

“Langkah-langkah yang dicadangkan termasuklah melaksanakan kawalan dalaman yang lebih ketat, pemotongan peruntukan, pengurangan perbelanjaan dan dalam masa yang sama meningkatkan hasil kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, semua program dan projek yang dirangka mestilah mampu memberi impak optimum kepada rakyat dalam merealisasikan gagasan “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan”.

Bagi menjayakan strategi kedua, katanya, kerajaan negeri memperuntukkan RM53.51 juta bagi membentuk insan yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi.

“Program pendidikan yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri adalah bermatlamat melahirkan insan yang holistik dan seimbang serta memupuk perpaduan nasional.

“Usaha ke arah ini telah menampakkan hasilnya melalui pelbagai kejayaan yang dicapai dalam program “Flahsip” pendidikan daripada peringkat pra-sekolah hinggalah ke universiti.

“Malah, Terengganu mampu menjadi peneraju kepada negeri-negeri lain dalam usaha memajukan bidang pendidikan kerana sebahagian besar program yang dilakukan di negeri ini belum dilaksanakan di tempat lain dan sebahagiannya pula telah menjadi ikutan kepada Kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri lain,” ujarnya.

Melalui strategi ketiga pula, Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, kerajaan akan terus memberi penekanan kepada usaha-usaha membasmi kemiskinan dan memperbaiki ketidaksamaan sosio-ekonomi secara membina dan produktif.

“Matlamat kerajaan adalah mengsifarkan miskin tegar dan menurunkan kadar kemiskinan kepada 1.0 peratus pada tahun 2013,” katanya.

Sebagai salah satu usaha meningkatkan daya saing negeri (strategi keempat), kerajaan negeri bersetuju menjadikan tahun 2013 sebagai Tahun Melawat Terengganu di mana pra pelancarannya telah dilakukan pada 26 November di MAHA International 2012 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang, Selangor.

“Sempena Tahun Melawat Terengganu 2013 dan seterusnya menjadikan setiap tahun adalah Tahun Melawat Terengganu, kerajaan bersetuju menambah pertuntukan pembangunan daripada RM138.85 juta pada tahun 2012 kepada RM186.74 juta tahun 2013 bagi melaksanakan pelbagai projek pelancongan,” katanya.