Halaman

12 December 2012

Sidang DUN-Laguna Setiu perlu penambahabaikan

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri disaran menambah peruntukan sebanyak RM6.5 juta dalam sektor perikanan bagi mendalamkan dan juga membina benteng pasir di Laguna Setiu.

YB Haji Abdul Halim Jusoh (BN-Permaisuri) berkata, setakat ini hanya 30 peratus kawasan laguna itu dapat digunakan akibat beberapa masalah termasuk kecetekan air yang menyukarkan operasi serta keadaan yang tidak selamat jika berlaku monsun.

“Sekiranya kawasan tersebut diberikan penambahbaikan yang sempurna saya percaya ia mampu menjana pendapatan sehingga RM50 juta setahun,” katanya ketika membahaskan Ucapan Bajet 2013 yang dibentang oleh Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said pada Sidang Dewan Undangan Negeri petang semalam.

Katanya, Laguna Setiu yang terkenal dengan ternakan ikan siakap itu mampu menjana pendapatan antara RM15 hingga RM20 juta setahun.

Menurutnya, terdapat 70 keluarga nelayan yang terlibat di kawasan terbabit dan aktiviti tersebut masih beroperasi dengan baik dan mampu menjana pendapatan pada musim biasa atau tengkujuh.

Beliau kemudiannya berterima kasih kepada kerajaan kerana telah memperuntukan RM5 juta bagi membiayai projek-projek benteng hakisan di Jeti Merang, Tadika, futsal, bengkel IKS rumah kedai serta astaka dalam Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri,

YB Abdul Halim juga bangga di atas keperihatinan kerajaan menyediakan bajet begitu besar untuk memastikan kecemerlangan pelajar di sekolah rendah dan menengah di negeri ini.

 “Guru-guru hanya beri tumpuan kepada kelas A dan B sahaja sebaliknya kelas C dan D agak terpinggir dan  perlu diingat kecemerlangan akan membawa kejayaan pada masa akan datang tetapi keciciran pelajar juga akan membawa gejala negatif kalangan masyarakat negeri dan negara,” katanya.