Halaman

09 December 2012

MoU mudahkan pelajar ikuti latihan industri

Oleh: Noraini Jusoh

Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Inforana Holding Sdn Bhd dengan agensi yang berkaitan dengan sektor perhotelan dan pelancongan bertujuan memudahkan para pelajar mengikuti latihan industri.

Pengarah Eksekutifnya, Tuan Haji Ahmad Ramzi Abdul Rahman berkata, antara penggiat pelancongan yang terlibat dengan MoU tersebut termasuk Sutera Beach Resort, Sumai Suite Hotel, Homestay Teluk Ketapang, Felda Residence, Taman Tamadun Islam serta Radix Fried Chicken.

"Dengan adanya perjanjian tersebut akan memudahkan pelajar kolej ini memilih tempat untuk menjalani latihan industri yang bersesuaian dengan kursus yang mereka ikuti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa majlis menandatangani MoU Kolej Inforana dengan industri pelancongan sempena Majlis Penyampaian Sijil dan Graduasi Program Terengganu Tourism Apprentice Scheme (T-TAS) kolej tersebut di Tok Jembal, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Haji Abdul Rahin Mohd Said.

Katanya, selain menyediakan pelbagai program kemahiran yang lain Inforana merupakan satu-satunya institusi di negeri ini yang diberi tanggungjawab oleh kerajaan negeri untuk melaksanakan program T-TAS bagi golongan belia yang berminat menceburi bidang berkaitan pelancongan dan perhotelan.

"Secara tidak langsung, dengan adanya perjanjian MoU ini dapat membantu para pelajar khususnya yang mengikuti program T-TAS mendapat tempat yang sesuai untuk menjalani latihan industri dan sekaligus membuka peluang kepada mereka untuk bekerja di sana apabila selesai menjalani kursus tersebut.

"Dengan adanya kerjasama dengan agensi yang berkaitan dengan pelancongan dan kerajaan negeri yang sentiasa cakna dan mengutamakan pendidikan belia negeri ini, tidak mustahil suatu hari ini kolej ini mampu melahirkan modal insan yang boleh menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri ini khususnya dalam bidang pelancongan,” ujarnya.

Menurut Ahmad Ramzi, Kolej Inforana juga bakal meluaskan sayap dengan mengambil pelajar antarabangsa yang dijangka akan bermula tahun depan.