Halaman

12 December 2012

Wakil Pas puji usaha Kerajaan BN

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang (Pas-Rhu Rendang) memuji usaha yang dilakukan Kerajaan Barisan Nasional (BN) termasuk memberi subsidi diesel kepada golongan nelayan kerana ia membantu menambah pendapatan mereka.

Beliau berkata, usaha-usaha lain seperti membina kilang ais untuk kegunaan nelayan tempatan juga baik kerana memudahkan nelayan mendapatkan bekalan air batu bagi kegunaan mereka.

Pada masa yang sama beliau meminta kerajaan negeri supaya membuka peluang kepada pelabur bagi membina kilang baja dan makanan ternakan supaya petani dan penternak mudah mendapatkan kemudahan tersebut.

Abdul Hadi yang juga Presiden Pas, berkata jika barangan berkenaan dikeluarkan di negeri ini, ia akan membantu mengurangkan kos petani dan penternak, sekaligus menurunkan harga produk pertanian dan ternakan.

Sementara itu, beliau berkata, sempena persidang DUN kali ini yang merupakan kali terakhir untuk penggal ini, beliau mengambil kesempatan untuk memohon maaf kepada ahli-ahli DUN jika beliau melakukan kesilapan sepanjang persidangan dewan diadakan.