Halaman

11 December 2012

ADUN BATU BURUK DIBERI PENJELASAN KEDUDUKAN EPIC OLEH MENTERI BESAR

Oleh: Ruslan Abdul Rahman 

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said menjelaskan Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (Epic), syarikat milik kerajaan negeri Terengganu mencatat keuntungan besar setelah tidak lagi disenaraikan dalam pasaran Bursa Saham Securities.

Beliau menjelaskan dalam tempoh sepuluh tahun Epic disenaraikan di Bursa Saham keuntungan terkumpul hanyalah RM45 juta sahaja atau RM4.5 juta setahun.

“Akan tetapi sekarang keuntungan boleh mencapai RM100 juta setahun setelah tidak disenaraikan lagi di bursa saham,”katanya di persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu hari ini bagi menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri, Batu Buruk, Syed Azman bin Syed Ahmad Nawawi hari ini.

Adun Batu Buruk itu mempertikaikan kewajaran Epic tidak lagi disenaraikan di bursa saham kerana menurutnya ia menjadi percakapan banyak pihak.

Dato’ Seri Ahmad menjelaskan, soal keuntungan besar lebih penting dari soal sama ada disenaraikan atau tidak kerana keuntungan yang diperolehi boleh menjadi milik sepenuh syarikat milik kerajaan negeri.

“Mana yang lebih baik untung RM100 juta setahun dengan untung RM4.5 juta setahun,” tanya Menteri Besar.

Pada tahun lepas, Epic memperolehi keuntungan bersih RM69.6 juta dan sejak kerajaan negeri mengambil alih Epic Januari lalu, Epic beroperasi di kawasan perindustrian Teluk Kalong ditubuhkan pada 17 Jan, 1981 dan bertukar menjadi sebuah syarikat awam sembilan tahun kemudiannya.

Ia tersenarai dalam pasaran Bursa Saham Securities dengan perniagaan melibatkan industri minyak dan gas, perkhidmatan pelabuhan dan lain-lain perkhidmatan.