Halaman

09 December 2012

Bubur asyura rendah lemak johan daerah Kemaman

Oleh: Nurul Aziela Saberi

Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman yang julung kali menyertai Pertandingan Memasak Bubur Asyura Peringkat Daerah Kemaman 2012, berjaya mengalahkan 254 kumpulan lain dengan membawa pulang wang tunai RM3,000, periuk besar setiap seorang dan satu trip bas perjalanan.



Pertandingan itu yang kini memasuki edisi ke-4 pada tahun ini berlainan dari kebiasaan kerana setiap kumpulan berani tampil dengan idea kreatif masing-masing bagi mencuri hati panel juri.

Bubur asyura rendah lemak yang disajikan Pejabat Kesihatan, bersesuaian dimakan oleh sesiapa saja kerana kandungan lemak hanya 1.33 gram sahaja dan komposisi zat makanan bagi setiap sajian 35 gram sangat seimbang dan boleh dinikmati oleh pesakit kencing manis.

Pegawai Kesihatan Daerah Kemaman, Dr. Mohd Anuar Abd Rahman berkata, kemenangan yang mereka peroleh ini adalah berkat usaha sama semua kakitangan pejabatnya yang berjaya memasak dan menyediakan bubur asyura yang berkonsepkan ‘Sihat dan Sedap’.

“Kami sajikan bubur asyura yang sihat dan sedap dengan kandungan zat makanan yang seimbang bagi menggalakkan orang ramai mengamalkan gaya pemakanan yang sihat.

Tambah beliau lagi resipi bubur asyura mereka adalah resipi turun temurun moyang salah seorang ahli kumpulan mereka Wan Imah Hasanah Wan Ismail, yang bertanggungjawab sebagai ketua memasak.



Sementara itu, naib johan dimenangi Kumpulan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Daerah Kemaman yang menerima hadiah wang tunai berjumlah RM2,000, periuk bersaiz sederhana, manakala tempat ketiga disandang oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Mak Chili yang mendapat wang tunai sebanyak RM1,000 dan hadiah iringan.

Selain itu, terdapat juga kelainan daripada peserta lain yang menampilkan kreativiti kumpulan masing-masing seperti menyajikan hidangan burger king syura, roti john syura yang lain daripada lain dan berjaya menarik perhatian pengunjung.

Begitu juga dengan persembahan daripada JKKK Pasir Gajah yang menghidangkan peta kawasan kampung mereka dengan lukisan gajah menjadi hiasan dan satu lagi hidangan berbentuk kek cawan.