Halaman

12 December 2012

Angkasa sasar 650 koperasi kredit ada sijil patuh syariah

Oleh; Esah Abdullah

Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa) mensasarkan 650 koperasi kredit yang ada di negara ini memperolehi sijil patuh syariah supaya dapat mengaplikasikan kewangan Islam dalam urusan perniagaan mereka.

 Presiden Angkasa, Profesor Dato’ Dr Mohd Ali Baharum berkata, sehingga kini, hanya 15 koperasi di di seluruh negara sudah memiliki sijil itu manakala 50 lagi sedang dalam proses penilaian.

Menurutnya, Angkasa kini sedang giat mengadakan program turun padang untuk memberi penerangan kepada koperasi di seluruh Malaysia, termasuk kepada koperasi kepunyaan bukan Islam.

 “Kita galakan supaya kesemua koperasi kredit, yang masih menjalankan operasi secara konvensional kepada syariah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Transformasi Kewangan Islam Dalam Gerakan Koperasi di Hotel Tanjung Vista, Kuala Terengganu semalam..

Namun begitu katanya, tahap kesedaran koperasi kredit ini sudah meningkat kerana mereka tahu kepentingan pengesahan patuh syariah.

 “Angkasa  bersedia memberi nilai tambah dan juga  bimbingan terhadap perjalanan mana-mana koperasi yang perlukan khidmat itu,” katanya.

Pada majlis tersebut, seramai 200 peserta terdiri dari ahli koperasi seluruh Terengganu menghadiri seminar selama dua hari yang membincangkan tiga tajuk iaitu Pemerkasaan Syariah Melalui Skim Infaq Lil Waqf, Hubungan Syariah Dalam Kehidupan Globalisasi dan Ke Mana Wang Zakat Anda Mengalir.