Kesan fatwa mengkafirkan Umno oleh pemimpin Pas, khususnya melalui Ucapan Haji Hadi pada tahun 1981 di Kampung Banggol Peradong, maka berlakulah perpecahan sesama umat Islam di negara ini, sebagaimana di sebut oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak di perhimpunan agung Umno baru-baru ini.
Mungkin bagi sesetengah pihak ia dianggap sebagai suatu yang sukar dipercayai, tetapi hakikatnya ia adalah benar-benar berlaku.
Video dan gambar kejadian itu masih tersimpan. Berita Harian bertarikh 19 Julai 1982 melaporkan, umat Islam mengecam pertubuhan politik yang terbabit dengan kegiatan membiarkan pengikut mereka melakukan perpecahan di dalam masyarakat dengan sembahyang dua imam dalam satu masjid dan dua masjid dalam satu kampung di Terengganu.
Mereka menganggap perbuatan itu sebagai perosak dan pencabul kehormatan dan kesucian Islam dan bukannya pejuang Islam yang sebenar. Timbalan Pesuruhjaya Pas waktu itu, Ustaz Abdul Latif Muhammad mengakui wujudnya perpecahan antara penyokong Pas dan Umno di Terengganu.
Dalam kenyataannya yang disiarkan oleh Berita Harian itu beliau juga tidak menafikan kejadian sembahyang dua imam dalam satu masjid dan mendirikan dua buah masjid dalam satu kampung ekoran keadaan itu.
Pada masa itu dilaporkan kira-kira 30 buah masjid dan surau didirikan melalui kelab-kelab parti berkenaan dan pengikut parti itu bersembahyang di kelab berkenaan.
Menurut laporan Utusan Melayu bertarikh 5 November 1986 pula, mendirikan sembahyang Jumaat berasingan dalam satu kariah adalah haram, ditegaskan oleh Mufti dalam satu edaran buku yang bertajuk ‘Fatwa Mufti” yang diedarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Terengganu pada masa itu.
Pada masa itu di Besut kejadian mengadakan sembahyang Jumaat di tempat berasingan dua sekampung adalah paling banyak iaitu 26 tempat. Antaranya termasuklah Gong Pasir, Bukit Tanah, Benting Lintang, Bukit Puteri, Tok Sabah, Lapan Kotak, Gong Duek, Tok Dor Dalam dan lain-lain. Di Setiu terdapat lima tempat, Marang empat tempat, Kuala Terengganu tiga tempat, Dungun 1 dan Hulu Terengganu 2.
Oleh itu apa yang sebut oleh Dato’ Seri Mohd.Najib adalah perkara yang benar-benar berlaku dan rakyat Terengganu, terutama penduduk di kampung yang terlibat adalah saksinya.
Malah kejadian-kejadian nikah dua kali (nikah semula) kerana anggap pernikahan terdahulu dengan jurunikah Umno tidak sah, tanah kubur berasingan, tidak makan gulai masakan orang Umno yang dianggap sembelihan tidak sah dan sebagainya juga benar-benar berlaku.