Halaman

13 December 2012

Sidang DUN-Konsep 3K bantu 20,000 ibu tunggal

oleh; Esah Abdullah

Nasib 20,000 ibu tunggal di negeri ini akan terbela apabila kerajaan negeri memperuntukan RM20 juta untuk melengkap dan memperkasakan golongan itu melalui konsep 3K iaitu kepimpinan, kemahiran dan keusahawanan.


 Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan , Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Dato’ Haji Yahya Khatib Mohamad berkata, kerajaan menyediakan peruntukan begitu besar bagi meningkatkan taraf hidup golongan itu.

“Kita akan memberi tambah nilai kepada program keusahawanan dengan menaikkan had pinjaman daripada RM10,000 kepada RM20,000 mulai tahun depan,” katanya ketika sesi Penggulungan Wakil-wakil Kerajaan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Katanya, 32 buah kelab ibu tunggal di seluruh negeri juga bakal menerima sumbangan mengurus organisasi sebanyak RM5,000 setahun mulai Januari tahun depan berbanding RM2,000 sebelum ini.

Sehubungan itu katanya, sebuah Pusat Pengurusan dan Aktiviti bernilai RM1.5 juta akan dibina di atas tanah yang di wakaf oleh seorang ibu tunggal untuk dijadikan pusat aktiviti golongan itu.

“Semua ini mengambarkan keperihatinan dan sikap kerajaan Barisan Nasional (BN) merialisasikan ajaran Islam seperti yang terdapat dalam Surah al-Maa’un ayat 1-7,” katanya.

Selain itu, kerajaan juga bersetuju memberi sumbangan RM2,000 kepada ibu tunggal yang bakal berkahwin semula bagi meringankan beban mereka.

 “Janji BN, janji ditepati dan insya-Allah jika diberi mandat sekali lagi pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang kita akan terus membantu kebajikan rakyat seluruhnya,” katanya.

Katanya, dalam bajet 2013 sebanyak RM 110 juta diperuntukkan di bawah portpolio kebajikan, masyarakat dan wanita untuk memberi ksejahteraan serta meningkatkan taraf hidup golongan itu.