Halaman

10 December 2012

Sidang DUN: Terengganu peroleh rizab minyak tambahan

Oleh: Suriati Ali

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said memberitahu syarikat cari gali minyak Lundin Oil mengesahkan penemuan rizab minyak tambahan yang terletak di medan Bertam PM307 berada di kawasan Terengganu. 

“Dengan penemuan rizab tambahan ini, Terengganu dijangka memperoleh tambahan royalti sebanyak RM100 juta setahun atau bergantung kepada anggaran pengeluaran.

“Kita mensasarkan jumlah pengeluaran minyak di kawasan itu nanti berjumlah antara 17,000 hingga 20,000 tong sehari apabila pengeluaran bermula pada suku ketiga 2014 nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini. Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu pihaknya ada menulis surat terhadap Petronas mengenai status penemuan minyak itu tetapi sehingga kini belum lagi menerima jawapan.

“Sebaliknya hanya Lundin Oil yang mengesahkan ia berada di kawasan Terengganu. “Ada pihak yang menyatakan ia berada di kawasan Pahang, itu mungkin silap faham kerana kawasan Medan Bertam PM307 hanya di sempadan Pahang dan lokasi sebenar adalah perairan Terengganu,” katanya.

Katanya ketika menjawab soalan YB Dr Syed Azman Syed Ahmad (Pas- Batu Burok), kerajaan Pusat akan membayar balik sepenuhnya tuntutan royalti minyak kepada Terengganu pada Mac tahun depan tanpa sebarang potongan.

“Kita menarik balik saman terhadap Petronas kerana pihak itu bersetuju memenuhi tuntutan yang diminta,” katanya.