Halaman

13 December 2012

Pegawai tentang kerajaan disaran letak jawatan

Oleh: Aida Abd Rahman


Pegawai kerajaan yang bertindak menentang dan tidak dapat menerima dasar kerajaan perlu meletak jawatan,demikian gesaan YB Dato’ Rosol Wahid (BN-Ajil) ketika membahaskan Bajet 2013 pada persidangan DUN, semalam (12 Disember).

 “ Saya memohon dengan rasa rasa rendah diri dan rasa tawaduk, jika tidak suka kepada kerajaan saya mempersilakan dengan segala hormatnya meletak jawatan. Itu cara yang lebih baik, kerana adalah tidak wajar jika mereka makan rezeki daripada kerajaan, pada masa yang sama menentang kerajaan,” katanya.

 Dato’ Rosol menzahirkan rasa terkilan dengan tindakan pegawai kerajaan yang memperolehi gaji serta pendapatan daripada bekerja di pelbagai sektor kerajaan tetapi melakukan pengkhianatan terhadap kerajaan.
“ Ini satu yang amat malang apabila pegawai kerajaan menentang kerajaan. Mereka boleh melakukan apa sahaja terhadap rakyat dengan melengah-lengahkan program, melengahkan kerja untuk memburukkan imej kerajaan,” katanya.

Katanya, sikap buruk pegawai kerajaan seumpama itu juga tidak mencerminkan akhlak orang Islam yang baik dan bukan amalan dianjurkan Rasulullah s.a.w.

Selain itu juga, Dato’ Rosol berkata, kehidupan hari ini pastinya lebih baik daripada 10 hingga 20 tahun dahulu walaupun pembangkang mengatakan kemajuan dan perkembangan semasa yang turut menuntut kenaikan harga barang keperluan seperti minyak, beras dan gula.

 “Tetapi Alhamdulillah, dengan kenaikan harga barang, tetapi harta kita juga semakin bertambah. Hari ini harga minyak (diesel) naik, daftar kereta Proton Saga sahaja di seluruh negara berjumlah  50,000 buah, masa minyak 30 sen seliter, masa gula 20 sen sekilo, gandum 10 sen sekilo, gula-gula lima biji dengan harga lima sen, berapa ramai rakyat kita mampu memiliki kereta.

 “Jadi, persoalannya mana hendak, jika barang naik, kita naik (memiliki) kereta dengan barang dan minyak murah , tetapi kita jalan kaki, jika jawapan dia baik berjalan kaki, maka orang berkenaan kalau tidak `gila’ mereka mungkin `bengong’.

 “Sebab itu apa yang kita rasa hari ini merupakan nikmat yang cukup baik dikurniakan Allah s.w.t hasil kecaknaan kerajaan hari ini,” katanya.