Halaman

13 December 2012

Sidang DUN-IQT akan dinaiktaraf kepada Kolej Universiti

Oleh; Esah Abdullah

Institut al-Quran Terengganu (IQT) akan dinaiktaraf kepada Kolej Universiti dan proses ke arah itu sedang berjalan.


Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat berkata, pada dasarnya kerajan telah bersetuju untuk menaiktaraf IQT ini kepada Kolej Universiti dan proses kearah itu berjalan lancar.

 “Insya-Allah perkara ini akan menjadi realiti,” katanya ketika sesi Pengulungan Wakil-wakil Kerajaan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) petang semalam.
Katanya, kerajaan juga akan membuat penambahabaikan terhadap tempat penginapan untuk pelajar untuk memberi keselesaan terutama kepada pelajar-pelajar baru.

“Kita sentiasa berusaha memberi penekanan serius terhadap kebajikan pelajar dan juga kakitangan di institut ini dari semasa ke semasa seperti juga pusat-pusat pengajian lain,” katanya.

Menjawab pertanyaan YB Haji Ramlan Ali (BN-Jabi) yang mengatakan masih ada pelajar tercicir daripada mengikuti Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) beliau berkata, usaha sedang dibuat untuk menangani masalah tersebut.

 “Tidak dinafikan masih ada sekolah yang tidak ada Kelas Kafa kerana ketiadaan bilik darjah serta masalah penyelarasan dengan aktiviti sekolah,” katanya

Menurutnya Yayasan Islam Terengganu (YIT) sentiasa megadakan perbincangan dengan pihak sekolah dan Jabatan Pendidikan untuk menangani masalah itu dan setakat ini ada kelas yang dibuka di balai raya, balai Quran dan di bangunan khas seperti yang terdapat di Felda.

 “Insya-Allah perkara ini dapat diselesaikan kerana kerajaan bersungguh-sungguh untuk melihat anak-anak negeri ini mampu menguasai bahasa al-Quran serta khatam sebelum memasuki sekolah menengah,” katanya.