Halaman

01 February 2013

Tasik Kenyir ubah Kuala Berang jadi maju

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Tasik Kenyir yang bakal menjadi destinasi pelancongan utama di Terengganu tidak lama lagi, akan mengubah wajah Kuala Berang menjadi antara bandar termaju di negeri ini, menjelang tahun 2020.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, yakin dengan pelbagai kemudahan pembangunan di tasik buatan manusia yang terbesar di Asia Tenggara itu akan mempengaruhi pembangunan bandar Kuala Berang.

“Kita akan majukan Tasik Kenyir menjadi lokasi pelancongan dengan menjadikannya kawasan bebas cukai yang lengkap dengan pelbagai tarikan lagi. Bila ramai pelancong datang ke Tasik Kenyir, bandar Kuala Berang akan menjadi maju tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Parlimen Hulu Terengganu di Padang Majlis Daerah Hulu Terengganu, semalam.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri akan menaiktaraf jalan menuju ke Tasik Kenyir bagi memendekkan masa perjalanan dari bandar Kuala Terengganu dan Lapangan Terbang Sultan Mahmud.

“Pada akhir tahun ini kita akan membina ‘factory outlet’ di kawasan Tasik Kenyir bagi menempatkan pelbagai produk berjenama sebagai tarikan pelancong,” katanya.

Katanya, banyak lagi kerja-kerja binaan akan dilaksanakan di kawasan tasik berkenaan dalam tempoh terdekat ini bagi memastikan segala prasarana disediakan bagi membolehkanya menjadi antara destinasi pelancongan terbaik di negara ini.

 

Gelanggang futsal untuk belia Binjai Manis

Oleh: Aida Abd Rahman

Kunjungan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said sempena majlis jamuan rakyat dan perasmian Balai Raya Kampung Binjai Manis, Manir, memberi khabar gembira kepada belia di kawasan itu apabila mereka dihadiahkan sebuah gelanggang futsal berharga RM150,000.

Menteri Besar menandatangani plat di Majlis Perasmian Balairaya Kampung Binjai Manis
“Kerajaan bina balai raya baru pada tahun lepas dengan kos RM200,000 dan sekarang kita luluskan pembinaan gelanggang futsal baru untuk orang muda.

“Gelanggang futsal yang mengikut ukuran biasa ini akan dilengkapi lampu dan sebagainya dengan kos RM150,000. Bagaimanapun, kos keseluruhan tidak dapat ditentukan kerana ia akan melibatkan kos kerja tanah dengan tambahan kos beberapa ribu lagi,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri sebelum itu melancarkan Jentera Jalinan Rakyat Wanita dan Penggerak Kemas Dewan Undangan Negeri DUN Manir di Pejabat Komuniti DUN Manir.



Hadir sama, Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang, Ketua Pergerakan Wanita Bahagian Hulu Terengganu, Dato’ Fatimah Hamat; Pegawai Penyelaras DUN (PPD), Encik Yusof Awang Hitam dan Pengarah Unit Komunikasi Negeri Terengganu, Haji Shamsuddin Sulong.

Menteri Besar juga berharap Encik Yusof dapat menghubungi pihak Unit Perancang Ekonomi Negeri dan Pejabat Daerah Kuala Terengganu bagi mendapatkan kos sebenar pembinaan gelanggang itu dengan kadar segera.

 “Kita minta supaya dalam tempoh dua bulan dari sekarang gelanggang futsal ini dapat dibangunkan. Selain itu, saya berjanji jika Barisan Nasional memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), 1,000 unit rumah lagi akan dibina di Manir. Sekarang 437 sudah siap, Insya-Allah selepas PRU13 kita akan agihkan,” katanya.





31 January 2013

Golongan pilih Pas tidak memahami agama : MB

Oleh: Aida Abd Rahman

Pengundi yang masih memihak kepada Pas pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) boleh dikategorikan sebagai golongan yang tidak memahami mengenai Islam kerana sanggup bersekongkol dengan mereka yang sanggup menggadai kesucian agama,” kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.


“Islam adalah agama perpaduan, Islam tidak pernah menyuruh kita bergaduh, berkelahi dan menunjukkan sikap angkuh dan menyekat hak orang lain.

“Alhamdulillah, satu kejayaan besar kepada kita, apabila dari satu aspek Pas mula berubah, di mana dulu jika kita mahu memasang bendera, mereka mengacau, mengganggu dan menjatuhkan bendera kita.Bagaimanapun, mereka masih suka memaki-hamun dan memfitnah dalam ceramah. Itu bukan ajaran, amalan dan juga pendekatan Islam,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri berkata demikian di sidang akhbar sempena majlis jamuan rakyat dan perasmian Balai Raya Kampung Binjai Manis, Manir, hari ini.



Sebelum itu Menteri Besar melancarkan Jentera Jalinan Rakyat Wanita dan Penggerak Kemas Dewan Undangan Negeri DUN Manir di Dewan Komuniti DUN Manir, hari ini.

Hadir sama, Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang, Ketua Pergerakan Wanita Bahagian Hulu Terengganu, Dato’ Fatimah Hamat; Pegawai Penyelaras DUN, Encik Yusof Awang Hitam dan Pengarah Unit Komunikasi Negeri Terengganu, Haji Shamsuddin Sulong.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, Pas juga sanggup melemparkan fitnah terhadap sesuatu perkara yang tidak disenangi mereka termasuk menuduh kerajaan membelanjakan ribuan dan jutaan ringgit bagi membeli haiwan untuk ditempatkan di Zoo Kemaman, sedangkan perkara itu tidak berasas sama sekali.

“Adakah itu perjuangan Islam? Ceramah menghina dan mengata orang. Mengadakan majlis sambutan Maulidur Rasul, ceramah sekejap mengenai Maulidur Rasul, selebihnya mengata dan memfitnah orang. Ini bukan cara dan ajaran Islam.

“Mereka sanggup membuat fatwa-fatwa mengelirukan kerana mahu mendapatkan kuasa politik dan sokongan bukan Islam serta orang Kristian, sehingga sanggup kalimah Allah dikongsi dengan orang bukan Islam.. ini tidak boleh. Dalam Bible dalam apa semua sekalipun, tuhan ditulis God atau Lord. Allah nama spesifik untuk orang Islam. Kalau kita benarkan mereka gunakan dalam gereja mereka, nama salib ditulis Allah, apa tindakan kita. Sebab itu kita menentang kerana ini hak eksklusif umat Islam. Akibat politik, Pas sanggup menggadaikan nama Allah,” katanya.

Menurutnya, antara amalan agama pemimpin dan penyokong Pas yang jelas menyimpang termasuk tidak mengiktiraf imam masjid yang dilantik kerajaan Barisan Nasional dan Umno menyebabkan sanggup meninggalkan masjid kerana mengelak dari berimamkan individu yang berbeza parti politik.

Katanya, jika mereka menyelar tindakan Umno dan BN bekerjasama dengan MIC dan MCA, kini mereka sendiri menjalinkan hubungan baik dengan DAP yang tidak mengiktifaf Melayu sebagai tuan dan Islam selaku agama rasmi negara.

 

604 calon UPSR ikuti program motivasi bersama Dr Tengku Asmadi

Oleh: Noraini Jusoh

Seramai 604 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir mengikuti program motivasi sebagai persediaan menghadapi UPSR di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Kompleks Seberang Takir, hari ini.


Program yang melibatkan murid Tahun Enam dari lima buah sekolah rendah di DUN terbabit dikendalikan oleh perunding motivasi terkenal, Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad yang merupakan anak kelahiran Seberang Takir.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman hadir menyempurnakan majlis perasmian program tersebut.

Ketika berucap merasmikan program tersebut, Dato’ Haji Ahmad Razif yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir berkata, antara matlamat utama program tersebut adalah untuk meningkatkan semangat dan motivasi supaya murid-murid di DUN Seberang Takir membuat persiapan rapi bagi menghadapi UPSR kelak.


"Kita jemput Dr Tengku Asmadi memberi ceramah untuk dijadikan contoh kepada murid-murid supaya mereka memasang impian untuk menjadi seorang yang berjaya seperti beliau.

Selain itu, program ini juga dapat menambah keyakinan kepada murid-murid untuk menghadapi peperiksaan supaya lebih ramai yang mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan UPSR nanti,” katanya ketika ditemui Teganukita selepas program tersebut.

Katanya, beliau begitu bangga kerana ibu bapa memberikan kerjasama yang baik dan berharap dengan adanya program motivasi sebegitu ditambah dengan kerjasama yang ditunjukkan ibu bapa dan guru lebih ramai anak-anak di DUN terbabit memperoleh 5A dalam peperiksaan UPSR.

Seramai 122 murid Sekolah Kebangsaan Kompleks Seberang Takir; Sekolah Kebangsaan Seberang Takir (83); Sekolah Kebangsaan Bukit Tunggal (107); Sekolah Kebangsaan Tok Jembal (131); dan Sekolah Kebangsaan Teluk Ketapang (161) menyertai program motivasi tersebut.

 

Lebih 40,000 sertai perarakan Maulidur Rasul Hulu Terengganu

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, mengetuai perarakan sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Parlimen Hulu Terengganu melibatkan lebih 40,000 penduduk daerah Hulu Terengganu, hari ini.



Sebanyak 225 kontinjen mewaklili agensi kerajaan, sekolah, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan pelbagai lapisan masyarakat turut menyertai perarakan itu yang bermula dari Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Ampuan Intan dan SK Kampung Telaga dan berakhir di Padang Majlis Daerah Hulu Terengganu.

 Menteri Besar menyifatkan penyertaan yang di luar dugaan itu merupakan manifestasi sokongan rakyat kepada kerajaan dan amat diperlukan menjelang saat-saat pilihan raya umum diadakan.

“Kerajaan amat berbesar hati dengan sokongan yang diberikan kepada rakyat dan ini amat wajar sekali kerana kita telah menyediakan segala kemudahan untuk mereka,” katanya pada sidang media selepas perarakan tersebut.

Terdahlu dalam ucapannya beliau meminta rakyat supaya menghayati sepenuhnya semangat perpaduan yang bersesuaian dengan tema sambutan Maulidur Rasul tahun ini iaitu Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah.

Turut menyertai perarakan itu ialah Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, YB Haji Rozi Mamat, wakil-wakil rakyat di kawasan Parlimen Hulu Terengganu dan pemimpin masyarakat serta ketua-ketua jabatan di daerah itu.

Menteri Besar berharap penduduk tempatan mengetepikan perselisihan sesama mereka, sebaliknya bersatu bagi menguatkan perpaduan di kalangan masyarakat Islam di negeri ini.

“Islam tidak membenarkan umatnya bertindak secara ekstrims dan melampaui batasan, sebaliknya mereka perlu mengamalkan sikap sederhana dalam semua aspek kehidupan," katanya.

Jangka peroleh RM50 bilion dalam tempoh lima tahun

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri menjangkakan memperoleh pulangan pelaburan RM50 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang, berdasarkan sambutan yang menggalakkan di kalangan pelabur asing dalam pelbagai industri berskala besar.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pihaknya percaya mampu mencapai sasaran itu atau sekurang-kurangnya memperoleh pendapatan RM5 bilion setahun.

 “Terengganu memiliki banyak kawasan yang berpotensi tinggi untuk dijadikan sebagai kawasan perindustrian, selain kebijaksanaan kerajaan menjalin hubungan baik antara pelabur. Faktor itu menjadi pendorong utama Terengganu terus tersohor di kalangan pelabur asing pelbagai negara.



“Persatuan Industri Tekstil China (PITC) bersetuju melabur RM40 juta bagi membina kompleks tekstil kedua di Bandar Baru Kijal, Kemaman.

Manakala pelabur lain, TRG Industrial Minerals Sdn Bhd (TIM) akan mewujudkan kilang memproses silika yang dirancang di Saujana, Setiu,” katanya.

 Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Persembahan Amal dan Jamuan Makan sempena perayaan Tahun Baru Cina di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Rendah Chung Hwa Wei Sin, Kuala Terengganu, malam tadi.



 Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw dan Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dato' Wan Hisham Wan Salleh.

  Dato’ Seri Haji Ahmad Said turut memberitahu, pengumuman CJ Cheiljedang Corporation dari Korea Selatan dan Arkema SA dari Perancis untuk menubuhkan satu logi biometionina yang pertama di dunia itu bakal menggalakkan aktiviti ekonomi baru.

 Katanya, kesemua projek berskala besar itu bukan saja berupaya memberi pulangan pelaburan malah dapat mewujudkan ribuan peluang pekerjaan dan menaiktaraf ekonomi penduduk setempat.

 






Hampir keseluruhan usahawan berjaya bayar balik pinjaman T-Fund

Oleh: Aida Abd Rahman

Sebanyak 90 peratus daripada kira-kira 2,000 usahawan di seluruh Terengganu berjaya membayar balik pinjaman menerusi dana Tabung Pembangunan Usahawan Terengganu (T-Fund) yang disediakan Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) sejak 10 tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Haji Azmi Razik berkata, perkembangan itu memberi petunjuk hampir keseluruhan peminjam berjaya mengembangkan perniagaan dan membolehkan mereka menjelaskan pinjaman mengikut tempoh ditetapkan pihaknya.

“Sementara jumlah usahawan yang gagal membayar balik pinjaman adalah sangat kecil dan kita akan menyelesaikan masalah itu menerusi perundingan dan mengenalpasti punca kegagalan mereka membayar balik sebelum mengambil tindakan mengikut undang-undang.

 "Kita sentiasa memantau prestasi semua usahawan berkenaan, selain membuka peluang kepada mereka menyertai pelbagai kursus dan bimbingan bagi memajukan perniagaan dari masa ke semasa,” katanya baru-baru ini.

Haji Azmi berkata, kerajaan negeri memperuntukkan T-Fund sebanyak RM2 juta setahun pada tahun ini berbanding RM1 juta tahun lalu bagi memberi peluang lebuh ramai usahawan negeri ini mengembangkan perniagaan dalam pelbagai sektor.

Menurutnya, T-Fund yang ditubuhkan sejak 2002 membelanjakan kira-kira RM13.166 juta untuk 1,795 peminjam sehingga 2011 menerusi tiga skim pembiayaan iaitu Skim Pembiayaan Kecil (SPK), Skim Sahabat Penjaja Melayu (SSPM) dan Skim Pinjaman Tanpa Faedah (SPTF).

Selain itu, YPU sudah mengeluarkan termasuk RM268,500 yang dibelanjakan bermula Januari hingga Mei tahun lalu.

"Dana ini meliputi modal pinjaman dan modal pusingan yang akan diberi kepada usahawan IKS sedia ada, malah YPU menggalakkan agar rakyat Terengganu terus menceburi perniagaan sebagai sumber pendapatan utama mereka," katanya.

Katanya, saiz pembiayaan bagi setiap usahawan mengikut skim itu adalah antara RM2,000 hingga RM50,000.


Rumah Warisan mampu tarik minat pelancong

Oleh: Suriati Ali

Rumah Warisan di Kampung Cina, Kuala Terengganu yang menempatkan puluhan khazanah dan produk tradisional, antara usaha pihak berkaitan bagi menambah produk pelancongan sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013.

 Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw, berkata kemudahan yang diwujudkan menerusi sumbangan kerajaan negeri dan MCA Kebangsaan dengan peruntukan RM500, 000 itu dijangka mampu menarik lebih ramai minat pelancong.

 “Kewujudan rumah warisan mampu merealisasikan hasrat masyarakat Kampung Cina untuk mengabadikan sejarah dan warisan nenek moyang mereka di satu pusat khas untuk tatapan orang ramai.

“Hasil sokongan padu semua pihak, MCA Kebangsaan serta Kerajaan Terengganu yang dipimpin Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said membolehkan Koperasi Kampung Cina diwujudkan dan pelbagai aktiviti dilaksanakan menerusi dana dan bantuan yang diberikan pihak yang prihatin kepada koperasi itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Persembahan Amal dan Jamuan Makan sempena perayaan Tahun Baru Cina di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Rendah Chung Hwa Wei Sin, Kuala Terengganu, malam tadi.

 Majlis yang dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said itu, turut dihadiri Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dato' Wan Hisham Wan Salleh dan lebih 500 masyarakat Tionghua.

 Beliau berkata, usaha koperasi untuk mewujudkan Rumah Warisan Kampung Cina juga tercapai dengan peruntukan RM500,000 sumbangan MCA Kebangsaan .

“Sokongan kerajaan negeri juga membolehkan pihaknya menganjurkan pelbagai acara sampingan yang menarik penyertaan ramai generasi muda di Kuala Terengganu dan Dewan Undangan Negeri Bandar khasnya,” katanya.

 

KISAH SAMBUT HARI JADI DI USIA 82 DAN PEMECATAN USTAZ NASA

Oleh: Ruslan Abdul Rahman 


Sudah sampai masanya ahli dan pengikut Pas mengkaji balik sokongan mereka kepada parti itu, terutama menjelang Pilianraya Umum ke 13 (PRU 13).

Ini kerana perjuangan parti itu tidak lagi berpegang kepada asas awalnya untuk kepentingan Islam malah tindak-tanduk pemimpin mereka jelas menunjukkan kepentingan politik pilihanraya mengatasi agama Islam Yang Maha Suci.

Ketua Penerangan Umno Terengganu, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman amat yakin bahawa ramai di kalangan penyokong Pas sendiri terkejut dan tidak senang dengan beberapa perkembangan yang berlaku di dalam Pas sekarang.

Antaranya termasuklah pemecatan cendikiawan Islam yang juga bekas Timbalan Presiden Pas, YB Ustaz Nasaruddin Mat Isa dari keanggotaan Majlis Syura Ulama Pas.

Seorang yang berakhlak mulia dan tidak mempunyai skandal sepertimana sesetengah yang lain tetapi dipinggirkan. Ustaz Nasharudin Mat Isa pernah menjadi Ahli Parlimen Yan (1999-2004) dan Bachok, Kelantan (2008-kini) .

Beliau pernah dilantik sebagai Setiausaha Agung PAS dan mantan Timbalan Presiden PAS (2005-2011) tapi tewas kepada Mohamad Sabu pada 2011. Beliau tewas di Besut di tangan Abdullah Md Zin dalam pilihan raya 2004.

Ustaz Nasharuddin dilihat berusaha menggabung parti UMNO dan PAS membentuk kerajaan perpaduan. Beliau dilihat sebagai ulama profesional, bukan ulama konservatif. Nasharudin Mat Isa dilahirkan di Rembau, Negeri Sembilan pada 1962.

Belajar 3 semester di UITM dalam jurusan Grafik dan Senireka. Kemudian mendalami pengajian Islam di Kolej Darul Ulum di Lucknow, India. Kemudian belajar bahasa Arab di Universiti Jordan , Amman selama dua tahun.

Seterusnya beliau mendalami undang-undang Syariah di Fakulti Syariah selama 5 tahun. Dilantik menjadi pembantu pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di Gombak.

Kemudian belajar selama dua tahun di Universiti Glasgow, Scotland. 1993 kembali ke UIAM dan menyiapkan Sarjana Undang-Undang .

Dilantik menjadi pensyarah undang-undang di situ, 1997, Nasharudin menjadi pensyarah undang-undang di UKM, Bangi. 1999 bersara sebagai ahli akademik kerana menceburi bidang politik sepenuh masa. Nasharudin menyertai PAS ketika belajar di Jordan.

Beliau aktif dalam Dewan Pemuda PAS dan menjadi exco antarabangsa. Dalam pemilihan pemuda PAS, beliau mendapat undi tertinggi. Mantan Presiden PAS,Allahyarham Datuk Fadzil Mohd Noor melantik Nasharudin sebagai Setiausaha Agung PAS.

Pelantikan beliau secara tiba-tiba mengejutkan ramai pihak.

Ketika itu beliau baru berhenti dari menjadi pensyarah undang-undang syariah UKM. Justeru itu peminggiran orang harapan Allahyarham Datuk Fadzil Noor ini mengecewakan kalangan ahli dan pendokong Pas yang mahu melihat golongan ulamak mewarisi kepimpinan Pas.

Peristiwa terbaru yang tidak disenangi kalangan ahli dan pendokong Pas yang kental dengan asas perjuangan asal ialah kehadiran Menteri Besar Kelantan, Dato’ Nik Aziz ke rumah Karpal untuk menyambut harijadinya juga suatu kejadian yang sungguh memeranjatkan.

Tindak-tanduk pemimpin Pas akhir-akhir ini jelas menunjukkan mereka berbuat apa sahaja untuk kepentingan politik .

Kehadiran Mursyidul Am Pas dalam sambutan hari jadinya yang ke-82 di kediaman Pengerusi DAP, Karpal Singh dilihat sebagai satu sindiran tajam kepada Dewan Ulama Pas berkenaan isu penggunaan kalimah Allah di kalangan orang bukan Islam.

Ini kerana sebelum ini Karpal merupakan individu yang lantang meminta dikaji semula keputusan Majlis Syura Ulama Pas yang tidak membenarkan kalimah Allah hanya boleh digunakan oleh umat Islam.

Nik Aziz bersama Presiden Pas, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini merupakan antara dua individu terawal yang membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah Allah namun kemudiannya Majlis Syura Ulama Pas membuat keputusan sebaliknya.

Tindakan Nik Aziz berjumpa dan bergembira bersama dengan individu yang menentang keputusan Majlis Syura Ulama PAS itu dipersoalkan oleh banyak pihak, Nik Aziz tiba di kediaman Karpal kira-kira jam 3 petang dan meluangkan masa selama 20 minit di kawasan yang meriah dengan sambutan Thaipusam di Jalan Scotland.

Dalam kunjungan itu, Nik Aziz turut memotong kek yang disediakan Karpal sebagai tanda ulang tahun kelahirannya ke-82, sambil disaksikan pemimpin DAP, Pas dan PKR.

Karpal yang gembira dengan kehadiran Nik Aziz itu berkata, beliau terkejut kerana pemimpin Pas itu tiba 30 minit lebih awal.

Demikian Pas kian tersasar jauh.

 

Usah pandang rendah keupayaan TSG - MB

Oleh; Esah Abdullah



Terengganu melaung amaran kepada pelumba-pelumba yang datang berkayuh untuk Le Tour de Langkawi (LTdL) 2013 supaya jangan memandang rendah cabaran pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) dan pelumba yang lain yang berkayuh untuk pasukan luar.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, peserta kejohanan berkenaan tentu masih ingat dengan nama-nama pasukan besar seperti Astana Pro Team, Garmin Sharp, Blanco, Omega Pharma, Orica Green Edge, Europcar dan banyak lagi nama-nama besar lain.

 “Saya dengar desas desus mereka mula berhati-hati dan mengatur strategi dengan TSG yang dianggap cabaran utama dalam LTdL nanti,” katanya dalam sidang media sempena majlis penyerahan penajaan di antara Kerajaan Negeri Terengganu dan Le Tour de Langkawi di Wisma Darul Iman semalam.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerus Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Dato’ Haji Abdul Rahin Mohd Said dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Haji Rozi Mamat.

Turut serta Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur LTdL 2013 merangkap Pengarah Bahagian Pengurusan Sukan Majlis Sukan Negara (MSN), Dato’ Ab Jalil Abdullah; Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia, Dato’ Abu Samah Abdul Wahab dan Yang Dipertua Persatuan Berbasikal Negeri Terengganu, Dato’ Haji Ahmad Sidi Ismail.

Menteri Besar berkata, beberapa anak tempatan turut berkayuh mewakili pasukan luar seperti Pro Kontinental Champion System, Kebangsaan Malaysia, Kontinental OCBC Singapura dan Kontinental Baku Cycling Team.

 “Saya yakin TSG yang telah menjadi juara baru Uci Asia Tour 2012 akan melakukan kejutan besar dalam LTdL tahun ini,” katanya.

Katanya, kerajaan juga membuat perancangan besar menyambut kehadiran LTdL di negeri ini sebaik saja pelumba melepasi kawasan Cherating hinggalah ke hari terakhir di Kuala Terengganu.

Menurutnya antara program yang diatur seperti Pelancaran Bulan Berbasikal pada 1 Februari ini disertai beberapa edisi kayuhan ‘hotride’ yang akan menjelajah ke semua daerah di negeri ini.

“Karnival akan diadakan di Dataran Shahbandar seminggu sebelum perlumbaan sebenar tiba manakala semasa hari perlumbaan saya pasti seluruh rakyat akan memberi sokongan padu kepada TSG,” katanya.