Halaman

31 January 2013

Usah pandang rendah keupayaan TSG - MB

Oleh; Esah Abdullah



Terengganu melaung amaran kepada pelumba-pelumba yang datang berkayuh untuk Le Tour de Langkawi (LTdL) 2013 supaya jangan memandang rendah cabaran pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) dan pelumba yang lain yang berkayuh untuk pasukan luar.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, peserta kejohanan berkenaan tentu masih ingat dengan nama-nama pasukan besar seperti Astana Pro Team, Garmin Sharp, Blanco, Omega Pharma, Orica Green Edge, Europcar dan banyak lagi nama-nama besar lain.

 “Saya dengar desas desus mereka mula berhati-hati dan mengatur strategi dengan TSG yang dianggap cabaran utama dalam LTdL nanti,” katanya dalam sidang media sempena majlis penyerahan penajaan di antara Kerajaan Negeri Terengganu dan Le Tour de Langkawi di Wisma Darul Iman semalam.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerus Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Dato’ Haji Abdul Rahin Mohd Said dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Haji Rozi Mamat.

Turut serta Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur LTdL 2013 merangkap Pengarah Bahagian Pengurusan Sukan Majlis Sukan Negara (MSN), Dato’ Ab Jalil Abdullah; Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia, Dato’ Abu Samah Abdul Wahab dan Yang Dipertua Persatuan Berbasikal Negeri Terengganu, Dato’ Haji Ahmad Sidi Ismail.

Menteri Besar berkata, beberapa anak tempatan turut berkayuh mewakili pasukan luar seperti Pro Kontinental Champion System, Kebangsaan Malaysia, Kontinental OCBC Singapura dan Kontinental Baku Cycling Team.

 “Saya yakin TSG yang telah menjadi juara baru Uci Asia Tour 2012 akan melakukan kejutan besar dalam LTdL tahun ini,” katanya.

Katanya, kerajaan juga membuat perancangan besar menyambut kehadiran LTdL di negeri ini sebaik saja pelumba melepasi kawasan Cherating hinggalah ke hari terakhir di Kuala Terengganu.

Menurutnya antara program yang diatur seperti Pelancaran Bulan Berbasikal pada 1 Februari ini disertai beberapa edisi kayuhan ‘hotride’ yang akan menjelajah ke semua daerah di negeri ini.

“Karnival akan diadakan di Dataran Shahbandar seminggu sebelum perlumbaan sebenar tiba manakala semasa hari perlumbaan saya pasti seluruh rakyat akan memberi sokongan padu kepada TSG,” katanya.