Halaman

28 January 2013

Semua Umno bahagian siap siaga

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Persiapan jentera Umno di setiap bahagian berada dalam keadaan terbaik dan siap siaga bagi menghadapi pilihan raya umum yang mungkin diadakan pada bila-bila masa.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pihaknya berpuas hati dengan persiapan yang dilakukan oleh bahagian-bahagian bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13).

“Mereka (pengurusan Umno bahagian) telah pun selesai melakukan pelbagai persiapan bagi menghadapi pilihan raya,” katanya pada sidang media di Riyaz Heritage, petang semalam.

Dato’ Seri Haji Ahmad yang juga Menteri Besar berkata, pamantauan di peringkat bahagian sudah lama dilakukan, tetapi pihaknya mengulangi lawatan ke bahagian-bahagian sejak awal tahun ini.

“Kita mahu memastikan jentera Umno berada dalam keadaan terbaik bagi membolehkan Barisan Nasional (BN) mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang kita menang sebelum ini.

“Pada masa yang sama kita mahu merampas kembali kerusi-kerusi DUN dan Parlimen yang dimenangi pembangkang pada pilihan raya lalu,” katanya.

Beliau berharap dengan persiapan rapi jentera Umno BN mampu mengekalkan pemerintah negeri ini dan meneruskan projek pembangunan untuk rakyat.