Halaman

28 January 2013

LPP peruntukan RM1.9 juta laksana projek pengeluaran makanan

Oleh; Esah Abdullah

 Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu (LPPNT) memperuntukan RM1.9 juta untuk melaksana projek baru pengeluaran makanan tahun ini.

Pengarahnya, Haji Shamsuddin Mat Rani berkata, projek tanaman vitato menerima peruntukan RM300,000 yang akan dilaksanakan oleh Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu (PPNT).

“Diikuti projek fertigasi sayuran mendapat peruntukan RM200,000 yang akan dilaksanakan di Jerangau (RM100,000) dan Bukit Diman Hulu Terengganu (RM100,000).

 “Projek tanaman tembikai pula dilaksanakan di Gerai dan Maras/Batu Rakit yang masing-masing menerima peruntukan RM80,000,” katanya kepada Teganukita.

Sementara itu katanya, terdapat 20 orang usahawan peladang yang menjalankan pelbagai projek menerima peruntukan RM920,000 dan di bawah projek Azam tani mendapat RM500,000 manakala ternakan ikan dalam sangkar di Kuala Berang sebanyak RM250,000.

Katanya, LPP negeri juga bersetuju untuk melaksanakan dua projek di bawah pembiayaan kerajaan negeri iaitu Pembangunan Kawasan Agro Makanan (PKAM) dan Dana Usaha Tani (DUTA).

“Beberapa kawasan projek yang sesuai di tanah milik kerajaan negeri akan dikenalpasti kini dalam proses mencari peserta bagi melaksanakan projek,” katanya.

Katanya, kertas kerja mengenai projek berkenaan akan di serahkan kepada kerajaan negeri bagi mendapatkan peruntukan yang dijanjikan.