Halaman

27 January 2013

Sokongan 20,000 pengundi Tionghua lancarkan pembangunan Kuala Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman

Pembangunan yang dirancang di seluruh bandar Kuala Terengganu dalam tempoh lima tahun akan datang hanya akan berjalan lancar, sekiranya Kerajaan Barisan Nasional (BN) mendapat mandat baru menerusi kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Beliau berkata, pelbagai pembangunan yang sudah dirancang serta bakal dibangunkan di seluruh Bandar Raya Kuala Terengganu itu juga turut memberi manfaat kepada 20,000 pengundi Tionghua yang tinggal di kawasan itu.

“Antara pembangunan itu, bangunan Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu 30 tingkat dan satu lagi blok bangunan di Kampung Tanjung dengan reka bentuk yang sama setinggi 31 tingkat.

“Kita akan melakukan semua ini dalam masa lima tahun akan datang, sebab itu kita perlukan mandat baru dan memenangi PRU13 dengan kemenangan yang besar,” katanya ketika berucap di Majlis Makan Malam dan Perjumpaan Dengan Pemimpin Masyarakat Cina, di Hotel Tanjong Vista, Kuala Terengganu, malam tadi.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Bandar merangkap Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw.

Menteri Besar berkata, bukan hanya sokongan diperlukan, masyarakat Tionghua juga diingatkan tidak terpengaruh dengan desakan dan propaganda pihak luar memandangkan apa yang sudah dikecapi semua kaum di negara ini kini amat selesa, harmoni dan terhindar dari masalah.

“Saya sebenarnya bersifat terbuka, kata orang, `ada ubi ada batas, ada hari boleh balas’. Kita tidak minta pergi berperang, atau sebagainya. Cuma minta dalam tempoh lima tahun sekali pergi menunaikan tanggungjawab mengundi itu sahaja.

 “Sebab itu kita monitor, pada PRU ini mahu melibat sama ada masyarakat Tiong Hua sokong kita sepenuhnya atau tidak. Ataupun ramai pembangkang, sokong Pas. Kadang-kadang politik ini tidak boleh percaya, depan beres bos..belakang, dia `beres’ kita pula.Beres bos, beres bos, belakang kita rebah. Formula saya mudah. Saya tidak mahu menyakiti orang, dan saya juga tidak mahu orang marahkan saya. Malah, saya bersedia menolong sesiapa sahaja,” tambahnya.

Katanya, kerajaan negeri bersedia menunaikan permintaan dan keperluan seluruh penduduk di negeri ini tanpa mengira kaum asalkan ia mendatangkan manfaat dan memberi kepentingan ramai.

Bagaimanapun, menurut beliau ada isu yang tidak dapat diselesaikan sehingga kini membabitkan permohonan bajet bagi menjalankan projek pembangunan di sebuah sekolah di bandar ini akibat kenaikan ketara perbelanjaan keseluruhan yang menimbulkan keraguan dan memerlukan kepada penelitian semula pihaknya.