Halaman

30 January 2013

Presiden Pas bertanggungjawab lahir golongan pelampau

Zainon Ismail
Oleh: Aida Abd Rahman dan Suriati Ali

Bekas ahli seumur hidup Pas, Zainon Ismail meminta Presiden Pas, Dato’ Sri Haji Abdul Hadi Awang supaya bertindak segera menarik balik gelaran pelampau yang merujuk kepada penyokong Pas menerusi tulisan beliau dalam buku Amanat Haji Hadi.

Menurutnya, perkataan pelampau di muka surat 55 perenggan ketiga disifatkan sebagai menghina penyokong Pas termasuk dia sendiri dan mereka yang terkorban dalam peristiwa Memali.

"Antara ayat yang ditulis beliau dalam buku ini, `tindakan keterlaluan oleh segelintir pelampau Pas dalam perkara yang menyebabkan mereka disingkirkan daripada Pas atau melarikan diri daripada Pas’,” katanya yang menggunakan nama pena, C.N.Al-Afghani ketika menghadiri program diskusi ‘Dilema dan Ranjau Perjuangan Islam di Malaysia’ di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, semalam.

Menurut Zainon, Abdul Hadi seakan terlepas pandang bertindak menggunakan perkataan yang keterlaluan itu, sedangkan dalam setiap ajaran, kuliah dan kertas kerja yang disampaikan beliau di serata tempat, walaupun tidak menyebut Umno itu kafir, beliau sudah memberi gambaran seolah-olah Umno itu kafir.

 “Jadi ahli-ahli Pas seperti saya, faham daripada tafsiran yang diberikan oleh mereka (Abdul Hadi dan pemimpin Pas bertaraf ulama ) bahawa Umno itu kafir dan kami faham selama-lamanya bahawa Umno itu kafir.

 "Jadi tidak wajar beliau menggunakan perkataan pelampau Pas, kerana jika kami pelampau Pas, yang ajar, latih dan tarbiyah kami ialah beliau sendiri sebagai pemimpin Pas. Jadi, saya harap beliau dapat tarik balik perkataan pelampau itu. Bukan sengaja mereka (pengikut PAS) hendak amalkan sikap keras terhadap pemerintah yakni UMNO, melainkan mereka ditarbiyah oleh pemimpin PAS sendiri," katanya.

 Beliau berkata, jika Abdul Hadi enggan menarik balik gelaran pelampau itu, beliau perlu bertanggungjawab kerana melahirkan golongan pelampau.