Halaman

29 January 2013

Bantuan persekolahan ringan beban

Oleh: Noraini Jusoh

Bantuan Khas Awal Persekolahan yang bernilai RM100 mungkin dianggap kecil oleh sesetengah pihak, tetapi jumlah tersebut cukup besar dan sangat bermakna bagi mereka yang memerlukan.

Bagi ibu bapa terutamanya keluarga yang kurang berkemampuan, bantuan tersebut sangat bernilai buat mereka kerana sedikit sebanyak dapat meringankan beban dalam menampung kos perbelanjaan bagi menguruskan persekolahan anak masing-masing.

Seorang suri rumah, Sarimah Awi, 46, berkata, dia bersyukur dengan keprihatinan kerajaan memperkenalkan Bantuan Khas Awal Persekolahan dan sangat gembira menerima bantuan tersebut.

"Syukur sangat dengan bantuan ini dan saya akan gunakan duit RM100 yang diberikan kerajan dengan sebaik mungkin.

"Anak saya Mohd Amirul Fahmi Ibrahim, 12, akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini, oleh itu, saya akan gunakan duit ini untuk membeli kelengkapan persekolahannya seperti buku rujukan dan alat tulis supaya dia lebih bersemangat untuk belajar,” katanya kepada Teganukita selepas majlis penyampaian Bantuan Khas Awal Persekolahan di Sekolah Kebangsaan Seberang Takir, hari ini.

Seramai 411 murid sekolah terbabit menerima wang tunai RM100 yang diserahkan kepada ibu bapa masing-masing pada majlis yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman.

Dato’ Haji Ahmad Razif yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir dalam ucapannya berkata, sekiranya rakyat memberikan sokongan yang padu kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Umno, tidak mustahil bantuan tersebut akan terus dinikmati oleh mereka pada masa akan datang.